KERALAM (INDIA) – Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad dijadual berlangsung di Keralam, esok, dalam rangka lawatan kerja beliau ke India.
Pertemuan itu turut membuka ruang kepada kedua-dua tokoh untuk bertukar pandangan berkaitan pembangunan masyarakat, pendidikan dan hal ehwal agama, selain memperkukuh hubungan Malaysia-India, khususnya dengan Keralam.
Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, beliau amat menantikan pertemuan berkenaan, selain menghargai sambutan serta ucapan yang disampaikan Sheikh Abubakr Ahmad terhadap kedatangan beliau dan delegasi Malaysia.
“Terima kasih atas ucapan dan doa, Sheikh. Saya amat berharap dapat bertemu anda esok, insya-Allah,” kata beliau.
Sementara itu, Sheikh Abubakr Ahmad menyambut baik keputusan Anwar untuk memasukkan Jamia Markaz, antara institusi Islam terkemuka di India, dalam jadual lawatan Perdana Menteri ke Keralam.
“Komitmen beliau untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pembangunan masyarakat, pendidikan dan hal ehwal agama mencerminkan visi bersama ke arah kemajuan intelektual dan kemasyarakatan.
“Semoga lawatan bersejarah dan dialog dua hala ini merintis laluan baharu yang dinamik dalam bidang pendidikan tinggi, pemerkasaan sosial dan kesalinghubungan kebudayaan antara Malaysia dan India, khususnya dalam mengeratkan hubungan dengan Keralam,” kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan kini berada di New Delhi selepas tiba pada Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Selesai lawatan ke Keralam, Anwar dijadual berlepas ke Maldives pada 14 September.


