KUALA LUMPUR – Pertukaran istilah Kerajaan Perpaduan kepada Kerajaan MADANI tanpa pengetahuan UMNO dilihat boleh mencetuskan persoalan terhadap sejauh mana persetujuan asal pembentukan kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih dihormati oleh parti terbabit.
Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, UMNO pada asalnya bersetuju bekerjasama dengan kerajaan yang dibentuk atas konsep Kerajaan Perpaduan dan tidak seharusnya perubahan istilah berkenaan dilihat sebagai soal nama semata-mata.
Beliau berkata, berdasarkan penjelasan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, parti itu berpegang kepada persefahaman asal bahawa kerjasama politik terbabit adalah dengan Kerajaan Perpaduan.
“Ini tidak ikut seperti perjanjian asal. UMNO kata mereka bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan sahaja.
“Saya dengar daripada penjelasan Setiausaha Agung UMNO sendiri, perkara itu memang disebut dalam perjanjian asal,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Dalam pada itu, Shahbudin memaklumkan, walaupun UMNO secara rasmi masih menyatakan komitmen untuk berada dalam Kerajaan MADANI sehingga tamat penggal, perkembangan terbaharu menunjukkan parti itu semakin memberi perhatian kepada kedudukan dan kepentingannya menjelang PRU akan datang.

“Saya fikir ucapan Datuk Seri Zahid itu cukup jelas bahawa beliau mahu mempercepatkan persediaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Jadi, geseran yang berlaku antara BN dan Perdana Menteri ini sangat sukar untuk kita jangka kesudahannya,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU2026) mempersoalkan perubahan nama kerajaan gabungan itu apabila Kerajaan Perpaduan yang dipersetujui sebelum ini bertukar kepada Kerajaan MADANI.
Ahmad Zahid menggesa supaya cadangan ‘gabungan besar’ yang dikemukakannya dibina berasaskan persefahaman bersama serta saling menghormati perjanjian dipersetujui






