
KUALA LUMPUR – Kos haji bagi Musim Haji 1448H/2027M kekal RM33,300 bagi setiap seorang jemaah haji iaitu pengekalan kos yang sama untuk tahun keempat berturut-turut.
Tabung Haji (TH) dalam kenyataan berkata, pihaknya meneruskan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) secara bersasar bagi meringankan beban kewangan bakal jemaah daripada kumpulan B40 dan M40.
“Bagi musim haji 1448H/2027M, TH memperuntukan sekitar RM234 juta bagi tujuan tersebut.
“Kadar bayaran haji bagi jemaah B40 ialah RM15,000 selepas menerima HAFIS sebanyak RM17,300 serta bantuan kerajaan RM1,000. Jemaah M40 pula membayar RM23,500 dengan HAFIS RM9,800, manakala jemaah T20 perlu membayar kos Haji penuh sebanyak RM33,300,” jelasnya.

Dalam kenyataan sama, TH menegaskan kemampuan mengekalkan kos haji, menyediakan bantuan kewangan haji dan pada masa sama meningkatkan kualiti perkhidmatan turut disokong oleh kedudukan institusi yang semakin kukuh hasil pengurusan kewangan berdisiplin, pengurusan risiko yang dipertingkatkan dan penambahbaikan tadbir urus secara berterusan.
“Buat #BakalHaji1448H, pastikan simpanan minimum RM15,000 dalam akaun TH untuk layak menerima Surat Tawaran Haji yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.
“Surat tawaran haji pula akan dikeluarkan secara berperingkat mulai 21 September 2026. Jadi, #BakalHaji1448H mempunyai masa 11 hari lagi untuk memastikan baki simpanan minimum RM15,000 bagi melayakkan diri menerima Surat Tawaran Haji, selain perlu lulus pemeriksaan kesihatan.
“Sementara itu, jangan lupa untuk rancang jadual hujung minggu kerana Kursus Asas Haji (KAH) juga akan bermula tidak lama lagi,” ujar kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, seramai 22,711 jemaah Haji Malaysia telah menunaikan Rukun Islam kelima tahun ini.







