PH Sarawak bantah cadangan persempadanan semula, gariskan tiga kepincangan utama

KUCHING – Pakatan Harapan (PH) Sarawak menyuarakan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang disifatkan gagal mencerminkan prinsip keadilan demokrasi.  

Pengerusi PH Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen berkata, penilaian ke atas draf cadangan 99 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu itu mendedahkan tiga isu kritikal yang meminggirkan kepentingan rakyat Sarawak. 

Beliau mendedahkan wujud jurang populasi yang ketara dengan purata 20,582 pengundi bagi setiap kawasan berdasarkan jumlah keseluruhan 2.03 juta pengundi.

Menurutnya, cadangan itu menjejaskan prinsip ‘satu undi, satu nilai’ apabila 24 kerusi mempunyai kurang daripada 15,000 pengundi, manakala 25 kerusi bandar dipadatkan dengan lebih 26,000 pengundi. 

“Sebagai contoh, kawasan perwakilan berlebihan seperti Gedong dan Sadong Jaya hanya mempunyai 10,000 pengundi serta Pelagus dengan 10,372 pengundi,” jelas Chieng Jen. 

Tambah Chieng Jen, ia berbeza sama sekali dengan kawasan bandar seperti Piasau (34,000 pengundi), Tudan (32,000 pengundi), Tanjong Batu (32,000 pengundi) dan Batu Kawah (31,000 pengundi). 

Ketidakseimbangan nisbah ini bermaksud tiga undi di Piasau hanya menyamai nilai satu undi di Gedong, dan perkara ini disifatkan sebagai tidak boleh diterima.  

Selain taburan pengundi, Chieng Jen turut membangkitkan isu ketidakseimbangan perwakilan etnik yang tidak berkadar terus dengan demografi populasi.

Demografi pengundi Sarawak kini merangkumi masyarakat Iban sebanyak 28.8 peratus, Melayu, Melanau dan Kedayan (28.3 peratus) serta Cina (28.0 peratus). 

Bagaimanapun, katanya lagi, sekiranya draf ini diluluskan, kadar perwakilan bagi kaum Cina dijangka menyusut daripada 17.07 peratus kepada 16.16 peratus. 

“Kesan yang lebih drastik akan dialami oleh masyarakat Iban yang berdepan kejatuhan nilai perwakilan daripada 26.8 peratus kepada 22.2 peratus berikutan pengekalan 22 kerusi majoriti, walaupun jumlah keseluruhan kerusi DUN ditambah,” tambah beliau. 

Jelas beliau lagi, senario ini berbeza dengan kerusi majoriti kumpulan Melayu, Melanau dan Kedayan yang dicadangkan sebanyak 31 kerusi.  

Cadangan SPR itu, ujarnya, turut dikritik kerana hanya memfokuskan penambahan kerusi DUN kepada 99 kerusi tetapi terus mengekalkan jumlah kerusi Parlimen pada 31 kerusi. 

Beliau berhujah pertambahan kerusi DUN sewajarnya dibuat seiring dengan peningkatan kerusi Parlimen bagi memastikan kelantangan suara Sarawak tidak tenggelam pada peringkat Persekutuan. 

Sebagai langkah penyelesaian, katanya lagi, pihak kerajaan dicadangkan untuk menggunakan nisbah dua kerusi DUN bagi setiap satu kerusi Parlimen, yang secara automatik mampu melonjakkan jumlah perwakilan parlimen Sarawak kepada 41 kerusi. 

Pada peringkat akar umbi pula, Chieng Jen membangkitkan keluhan berhubung isu persempadanan kawasan tempatan yang bertindih sehingga memisahkan satu komuniti secara tidak wajar kepada beberapa kawasan DUN yang berbeza, seperti yang berlaku di Kenyalang, Pending dan Padungan.  

“Sehubungan dengan kepincangan yang dibangkitkan itu, DAP Sarawak menyeru sekurang-kurangnya 100 orang pengundi dari setiap kawasan untuk tampil mendaftarkan diri di pusat khidmat parti berhampiran,” jelas Chieng Jen.

Tambah beliau, langkah ini amat kritikal bagi membolehkan bantahan rasmi dikumpulkan dan difailkan secara kolektif terhadap draf persempadanan semula berkenaan. 

Related Posts

Indonesia perhebat operasi tangani krisis kebakaran hutan, 138 suspek ditahan

KUCHING – Indonesia terus memperhebat operasi pemadaman darat dan udara serta memperketat penguatkuasaan undang-undang bagi menangani krisis kebakaran hutan dan lahan (Karhutla) yang sedang melanda negara tersebut.   Konsulat Jenderal Republik…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pameran Mini Hari Malaysia perkukuh pemahaman sejarah pembentukan negara, MA63

MIRI – Pameran Mini Hari Malaysia Bahagian Miri 2026 disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh penghayatan masyarakat terhadap sejarah pembentukan negara serta pemahaman mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Menteri Pengangkutan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Sirih pulang ke gagang’, Noh Omar kembali ke UMNO

‘Sirih pulang ke gagang’, Noh Omar kembali ke UMNO

Puteri UMNO harap keputusan yang terbaik bagi pengampunan Najib

Puteri UMNO harap keputusan yang terbaik bagi pengampunan Najib

Jangan abaikan ‘undi senyap’ anak muda, golongan itu perlu didekati

Jangan abaikan ‘undi senyap’ anak muda, golongan itu perlu didekati

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat esok – Hannah Yeoh

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat esok – Hannah Yeoh

Indonesia perhebat operasi tangani krisis kebakaran hutan, 138 suspek ditahan

Indonesia perhebat operasi tangani krisis kebakaran hutan, 138 suspek ditahan

Pameran Mini Hari Malaysia perkukuh pemahaman sejarah pembentukan negara, MA63

Pameran Mini Hari Malaysia perkukuh pemahaman sejarah pembentukan negara, MA63