
SANDAKAN – Sebanyak 56 tindakan penguatkuasaan direkodkan dalam Operasi Bersepadu Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Cawangan Sandakan bersama agensi penguat kuasa lain di Terminal Bas Berhenti-Henti Daerah Sandakan, pada Rabu.
LPKP Sabah dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan tindakan itu melibatkan 30 notis dikeluarkan LPKP Sabah, 18 saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tiga saman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah turut menahan lima individu dalam operasi berkenaan.
Operasi yang diketuai Ketua Cawangan LPKP Sabah Cawangan Sandakan, Mohd Shuaib Ahmad itu turut menyaksikan sebanyak 30 bas berhenti-henti diperiksa.
Dalam operasi sama, LPKP Sabah turut menyerahkan tatacara permohonan dana ISBFF kepada pengusaha bas berhenti-henti bagi membantu mereka memahami proses permohonan dana berkenaan.





