
PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri mengesahkan seramai enam orang rakyat Malaysia terdiri daripada sebuah keluarga dari Lubnan telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi Ahad.
Wisma Putra dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa enam orang lagi rakyat Malaysia juga dijadualkan bakal tiba di Malaysia malam ini.
“Ini menjadikan jumlah rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang berjaya dievakuasi keluar dari Lubnan dalam dua hari seramai 17 orang.
“Walaupun keadaan makin mencabar di Lubnan, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut berjaya mengatur penerbangan pulang ke Malaysia bagi semua baki rakyat kita yang masih berada di sana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wisma Putra, kesemua rakyat Malaysia yang masih berada di Lubnan dijangka tiba di tanah air, secara berperingkat pada Isnin dan Selasa.





