KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, pada Rabu atas tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dengan gaji RM690,000 kira-kira 12 tahun lalu.
Abdul Azeez, 60, meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Saya faham (pertuduhan), tuduhan itu tidak benar sama sekali dan saya mohon dibicarakan,” katanya yang memakai baju ungu lokap polis dengan tangan bergari di dalam kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, beliau sebagai Pengerusi TH, didakwa menggunakan kedudukan itu untuk mendapatkan jawatan Pengerusi syarikat Putrajaya Perdana Berhad dengan dengan remunerasi sebanyak RM690,000 setahun serta kemudahan sebuah kereta jenis BMW 7 Series berserta seorang pemandu tetap.
Azeez didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga TH ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail, untuk mencadangkan beliau sebagai wakil TH di dalam syarikat Putrajaya Perdana Berhad dan meyakinkan Ahli Lembaga TH ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga TH Bil. 4/2014 (309), untuk bersetuju meluluskan cadangan melabur sehingga RM193.5 juta (sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada) dalam Putrajaya Perdana Berhad, yang tertuduh mempunyai kepentingan.
Kesalahan itu dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan TH, Jalan Tun Razak, di sini, pada 25 Ogos 2014.
Bekas Ahli Parlimen Baling itu dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah, pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 adalahtermasuk dalamkes yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun katanya, pendakwaan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara mahkamah dalam isu jaminan mengikut Seksyen 388 Kanun Tata Cara Jenayah.
“Namun, kami memohon kadar jaminan RM1 juta ditetapkan dengan dua penjamin warga tempatan yang bukan terdiri daripada ahli keluarga tertuduh, selain syarat tambahan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah,” katanya.
Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How menghujahkan, syarat penyerahan pasport adalah wajar bagi mengelakkan risiko tertuduh melarikan diri berikutan kesalahan yang dihadapi Abdul Azeez adalah serius dan membabitkan nilai tinggi.






