SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mendakwa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi yang tular baru-baru ini dalam keadaan terpaksa.
Beliau berkata, laporan polis telah dibuat kira-kira jam 6 petang semalam bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
“Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress). Saya telah membuat laporan polis pada sekitar jam 6 petang pada 8 September 2026 bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Ismail, kerajaan negeri berpendirian bahawa Surat Cara berkenaan tidak mematuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sehubungan itu, katanya, dokumen berkenaan adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Dalam pada itu, Ismail berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil. 5 Tahun 2026 yang bersidang semalam turut membincangkan penubuhan Jawatankuasa Pendamai sebagai wadah bagi mencari penyelesaian terhadap isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut merujuk Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jaminan Persekutuan terhadap hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.
Katanya, langkah sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara.
“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” katanya.
Pada Rabu, Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari Meor Ngah menegaskan proklamasi yang ditandatangani Ismail Lasim pada 3 Ogos lalu tidak sah dan tidak mempunyai kuasa untuk berkuat kuasa.
Katanya, pengisytiharan berkenaan juga tidak boleh diguna pakai kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.





