KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kekal dalam tahanan polis sehingga esok walaupun Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan ikat jamin RM450,000.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, perintah reman yang dikeluarkan sebelum ini masih berkuat kuasa dan perlu dipatuhi sehingga tempoh tersebut berakhir.
“Secara teknikalnya, ya, kerana perintah reman masih berkuat kuasa dan ia perlu dipatuhi. Dia masih berada dalam tahanan polis sehingga tempoh reman tamat. Selepas itu, dia boleh dibebaskan,” katanya ketika sidang media selepas prosiding di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pada Rabu.
Ketika ini, Amer Hamzah menjelaskan, penjamin juga sedang menguruskan proses jaminan supaya urusan pembebasan dapat dilakukan segera sebaik sahaja selesai tempoh reman.
“Kami akan selesaikan urusan jaminan hari ini kerana tidak mahu berlaku sebarang kelewatan. Sekiranya dia dibebaskan lebih awal daripada reman polis, dia boleh terus pulang,” katanya.
Terdahulu, Abdul Azeez, 60, direman dua hari bermula hari ini selepas permohonan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes tipu berkait pemberian hibah TH.
Dalam prosiding pada Rabu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan jawatan di sebuah syarikat dan manfaatnya serta meyakinkan Ahli Lembaga TH membuat pelaburan RM193.5 juta di syarikat sama.
Mengikut pertuduhan, ahli politik berusia 60 tahun itu didakwa sebagai seorang Pegawai Badan Awam iaitu Pengerusi Lembaga TH, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan.
Ia membabitkan jawatan Pengerusi syarikat Putrajaya Perdana Berhad dengan remunirasi sebanyak RM690,000 setahun serta kemudahan satu kereta jenis BMW 7 Series termasuk seorang pemandu tetap.
Perbuatan didakwa dengan mengarahkan Tan Sri Ismee Ismail selaku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH dengan mencadangkan Abdul Azeez sebagai wakil TH dalam syarikat Putrajaya Perdana.
Ia termasuk meyakinkan Ahli-Ahli Lembaga TH semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga TH supaya bersetuju meluluskan cadangan untuk melabur sehingga RM193.5 juta (sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada) dalam syarikat itu.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan TH, Jalan Tun Razak, di sini pada 25 Ogos 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Law Chin How dan ‘Atirah Mohd Azuarizanuddin.






