
KUALA PERLIS – Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditinggalkan di dalam sebuah sampan selepas dua lelaki dipercayai tekong dan awak-awak terjun ke kawasan berlumpur sebelum melarikan diri ke hutan paya bakau, petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 0.1 batu nautika barat Pantai Kuala Perlis ketika sampan kayu tanpa nombor pendaftaran itu dipercayai bergerak dari arah sempadan negara jiran menuju ke Kuala Perlis.
Pengarah Maritim Zon Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, sampan berkenaan dikesan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Aman dan Op Tiris selepas menerima maklumat risikan.
“Sebaik menyedari kehadiran bot penguat kuasa, sampan itu bertindak memecut ke arah daratan.
“Dua lelaki yang dipercayai tekong dan awak-awak kemudian terjun ke kawasan berlumpur sebelum melarikan diri ke hutan paya bakau berhampiran,” katanya hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan lapan warga Myanmar terdiri daripada empat wanita dewasa, tiga lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Kesemua mereka dipercayai memasuki Malaysia melalui laluan tidak dibenarkan tanpa memiliki pas atau permit sah.
Katanya, jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk sampan berkenaan dianggarkan melebihi RM17,000.
Kesemua PATI yang ditahan bersama sampan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kemasukan serta keberadaan tanpa pas atau permit sah dan penggunaan laluan tidak dibenarkan.
Maritim Malaysia memaklumkan rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkat khususnya di perairan berhampiran sempadan bagi mengekang kegiatan penyeludupan migran dan kemasukan PATI.





