KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memperhalusi cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik dan menjangka ia dibentangkan pada sidang Parlimen tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini draf RUU itu sudah ada, namun pihaknya masih dalam proses memuktamadkan cadangan dasar sebelum dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri.
“Secara menyeluruh, kita melihat rakyat mahu akta ini diwujudkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Namun adalah baik jika setiap parti memberikan pendirian secara rasmi dan bertulis mengenai cadangan ini.
“Dengan itu, kita mempunyai bukti lebih jelas mengenai parti mana yang bersetuju, tidak bersetuju atau mempunyai cadangan penambahbaikan,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Pendanaan Politik 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di sini, hari ini.
Azalina berkata, terdapat beberapa parameter dasar sedang diperhalusi, antaranya skop pemakaian, badan kawal selia, sumber dan had sumbangan, larangan sumbangan asing, saluran penerimaan dana yang boleh dijejaki, pelaporan, pengauditan dan pendedahan serta kesalahan dan penalti.
Katanya, prinsip mudah iaitu telus tetapi praktikal, tegas tetapi adil dan berakauntabiliti tanpa mengekang proses demokrasi yang sah.
“Matlamat kita bukan sekadar menggubal undang-undang, tetapi memastikan ia benar-benar berkesan dan boleh dilaksanakan.
“Sebagai contoh, kita perlu menentukan sama ada sumber sumbangan perlu didedahkan dan bagaimana sumbangan daripada pihak asing harus ditangani.
“Sesetengah negara mempunyai peraturan yang melarang sumbangan daripada warga asing, manakala ada negara menetapkan mekanisme pendedahan atau semakan tertentu,” katanya.
Mengulas kritikan terhadap proses pelaksanaan agenda reformasi yang tidak sepantas dijangkakan, Azalina berkata, beliau memahami kritikan dan keresahan masyarakat.
Katanya, rakyat berhak mengharapkan perubahan dan menuntut kerajaan menunaikan komitmennya secepat mungkin.
“Saya mengakui agenda reformasi undang-undang dan institusi ini masih jauh daripada selesai, namun komitmen kita kekal utuh, termasuk memastikan reformasi pendanaan politik ini dapat direalisasikan secepat mungkin,” katanya.
Azalina berkata, sebahagian agenda reformasi itu memerlukan penelitian dan konsensus yang mendalam serta menyeluruh, terutama bagi pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan mencukupi di Parlimen.
“Saya akui kekangan proses itu tidak boleh dijadikan alasan mengapa agenda reformasi tidak berjalan sepantas diharapkan. Namun, pada masa sama, perlu difahami pelaksanaan agenda reformasi tidak boleh dibuat tergesa-gesa hanya untuk memenuhi persepsi semasa,” katanya.
Terdahulu, Azalina dalam ucapannya turut melontarkan pandangan peribadinya terhadap pelaksanaan RUU Pendanaan Politik.
Katanya, beliau sebagai pengamal undang-undang berpendapat sekiranya Akta Pendanaan Politik tidak diwujudkan, lebih ramai ahli politik akan dikenakan tuduhan rasuah.
“Orang bagi bantuan akan dilihat sebagai rasuah sebab niat tidak dapat dijelaskan, resit tidak diberi dan sebanyak mana bantuan digunakan juga tidak dimaklumkan.
“Itu sebabnya kalau akta ini tiada, saya melihat banyak lagi masalah akan wujud dalam parti. Ini pandangan peribadi saya saja sebagai Ahli Parlimen, bukan sebagai pandangan Ketua Penerangan UMNO, ” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Azalina pada 18 September 2023 memaklumkan Kabinet bersetuju menggubal Akta Pendanaan Politik.






