PUTRAJAYA – Kerajaan tidak boleh menganggap pemberian bantuan tunai RM400 sebulan kepada pekebun kecil sebagai kaedah penyelesaian mutlak terhadap masalah yang dihadapi golongan terbabit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan yang diberikan kerajaan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk memperkukuh kedudukan pekebun kecil.
Menurut beliau, kerajaan perlu terus mendengar masalah peringkat akar umbi kerana keperluan rakyat sentiasa berubah mengikut keadaan ekonomi dan kos kehidupan selain maklumat mengenai bantuan kerajaan tidak sampai dengan jelas kepada rakyat.
“Kalau wakil pekebun kerja tanya saya, cukup? Tentu dia jawab, tak cukup dan saya akui. Kerajaan perlu memastikan bantuan tersebut benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran dan difahami oleh penerima.
“Sekurang-kurangnya dia tahu. Jangan dia kata belum dapat apa-apa,” katanya katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi, pada Selasa.
Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kira-kira 270,000 pekebun kecil termasuk pengusaha kecil sawit, getah, lada dan kenaf telah menerima Budi Agri-Komoditi RM400 sebulan setakat September 2026.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan, kerajaan meningkatkan sokongan kepada sektor komoditi menerusi pelbagai pendekatan termasuk insentif getah, bantuan penanaman semula sawit, pembiayaan mudah dan penyelenggaraan jalan ladang.
“Pendekatan tersebut menunjukkan kerajaan tidak berdiam diri terhadap masalah pekebun kecil. Namun tuntutan untuk meningkatkan bantuan perlu mengambil kira tekanan terhadap ekonomi negara.
“Ini susulan perkembangan geopolitik dan kenaikan harga minyak dunia. Kita kena faham juga keadaan ekonomi sekarang ini,” katanya.





