
SEMPORNA – Kerajaan Sabah membelanjakan lebih RM1 bilion sebagai usaha menyelesaikan masalah bekalan air yang diwarisi sejak sekian lama.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha itu termasuk melaksanakan beberapa projek utama dan penggantian paip bocor.
“Dua atau tiga projek besar ini akan siap, satu daripadanya hujung tahun ini. Di sebelah Tawau pun, progresnya lebih kurang 50 hingga 60 peratus. Kita juga ganti paip-paip air di kebanyakan daerah kerana banyak kebocoran, banyak kecurian dan sebagainya.
“Jadi, inilah masalah yang kita hadapi, ” katanya kepada media selepas menyempurnakan pelancaran 106 Unit Kedai 2 Tingkat Fasa 1 serta Pecah Tanah Projek Komersial 2 dan 3 Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Jalan Bubul, pada Selasa.
Menurut Hajiji, kerajaan turut berusaha menangani pelbagai isu infrastruktur asas termasuk jalan raya dan bekalan elektrik bagi memastikan kemudahan rakyat terus dipertingkatkan.
“Masalah air ini bukan datang waktu kerajaan ini, ia datang dari dulu lagi. Jadi kita kena lakukan yang terbaik sebagai kerajaan yang bertanggungjawab. Yang penting, kita positif saja, kita laksanakan apa yang terbaik untuk kemudahan rakyat kita,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, pembangunan komersial menerusi LPPB yang melibatkan 106 unit kedai siap dibina dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan di daerah ini.
“Semporna adalah daerah pelancongan di mana pelancong banyak datang ke sini, dan saya yakin dengan terbinanya kedai-kedai ini akan memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk membeli-belah ataupun datang untuk makan, minum dan sebagainya.
“Jadi, ini satu lagi perkembangan yang baik untuk pembangunan Semporna dan peluang-peluang aktiviti ekonomi untuk orang tempatan di Semporna dan sekitarnya,” katanya.

Jelas Hajiji, kerajaan negeri menerusi agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) juga komited mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat, termasuk usahawan dan peniaga Bumiputera, melalui dasar yang mesra pelabur (friendly investor).
“Kita mengamalkan dasar yang terbuka dan mesra pelabur bagi memudahkan pemaju serta pelabur, termasuk dari luar, untuk melabur di Sabah.
“Apabila pelaburan masuk, aktiviti ekonomi akan berkembang dan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat,” tambahnya.




