PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan akan terus memantau keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi memastikan kesihatan serta keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan.
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, tindakan berkaitan jerebu dilaksanakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan bacaan IPU yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai rujukan rasmi.
“Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan, manakala apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup.
“Jika bimbang akan kesihatan anak, ibu bapa dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan pihak sekolah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.
Fadhlina berkata KPM akan terus memantau bacaan IPU dan keadaan semasa dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan yang terjejas akibat jerebu.
Beliau berkata kebimbangan ibu bapa berhubung kesan jerebu terhadap kesihatan anak-anak sentiasa diambil kira oleh kementerian.
“Kebimbangan ibu bapa kita dengar. Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” katanya.






