Bekalan bahan api stabil, harga minyak global dijangka kekal tinggi

PUTRAJAYA – Bekalan bahan api Malaysia dijamin mencukupi sehingga akhir tahun ini meskipun paras bekalan global berada pada tahap rendah, kata Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Nurhisham Hussein.

Nurhisham yang juga mengetuai Sekretariat Pasukan Petugas Pengurusan Krisis Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berkata, keadaan pasaran bahan api global ketika ini masih stabil, namun risiko kenaikan harga kekal berikutan ketegangan geopolitik dan gangguan terhadap laluan perkapalan utama.

Katanya, Malaysia yang merupakan pengeksport bersih gas asli cecair (LNG), masih bergantung kepada import minyak mentah bagi memenuhi keperluan dalam negara.

“Petronas yakin kita akan dapat mempunyai bekalan yang mencukupi sehingga akhir tahun dan mereka akan dapat bekalan,” katanya pada taklimat media mengenai krisis bekalan global baru-baru ini.

Menurutnya, kebanyakan negara dijangka hanya mula membina semula rizab minyak apabila harga kembali ke paras lebih munasabah, iaitu sekitar US$80 setong.

“Jadi, kita akan mempunyai pembinaan semula rizab yang sangat perlahan oleh negara-negara ini, tetapi ini juga membayangkan bahawa dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang harga minyak akan terus berada di aras tertinggi.

“Ia mungkin tidak melonjak tetapi akan terus naik. Dari segi bahan api, keadaan semasa masih lagi stabil,” katanya.

pelantar minyak

Nurhisham berkata, Terusan Suez dan Bab-el-Mandeb masih dibuka meskipun berdepan ancaman berterusan, manakala kerosakan kemudahan minyak di Rusia serta sekatan Amerika Syarikat terhadap eksport Iran turut berpotensi menjejaskan bekalan global.

Beliau berkata, pengurangan rizab minyak global akhirnya boleh menghapuskan salah satu sumber bekalan dan meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga dunia.

Dalam pada itu, penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang semakin meningkat di China dilihat membantu menyederhanakan permintaan minyak global.

Nurhisham berkata, peningkatan ketara pembelian EV dalam kalangan pengguna China telah membantu mengurangkan permintaan terhadap minyak.

“Pada masa sama, kilang penapisan China beroperasi pada kapasiti kira-kira 80 hingga 90 peratus yang pada asalnya dibuat berdasarkan permintaan luaran, jadi mereka sebenarnya melakukan banyak eksport juga,” katanya.

El Nino beri risiko kepada bekalan makanan

Mengenai bekalan makanan global, Nurhisham berkata fenomena El Nino yang kuat dijangka berlarutan sehingga Februari 2027 dan berpotensi memberi kesan terhadap pengeluaran makanan dunia.

Katanya, suhu Lautan Pasifik di kawasan El Nino-Southern Oscillation (ENSO) kini sudah melebihi kira-kira dua darjah Celsius daripada paras normal, mencerminkan keadaan El Nino yang kuat.

“Ia belum tiba di rantau ini lagi dan jangkaan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan bahawa kita akan berhadapan dengannya menjelang Oktober, November, sebelum kita benar-benar mula merasakannya.

“Ini juga akan memberi impak yang besar di seluruh dunia. Ia bukan setakat Asia Tenggara, malah turut berlaku di Asia Selatan, Tengah dan Selatan, Caribbean serta Amerika Latin,” katanya.

Beliau berkata perubahan corak cuaca itu penting bagi Malaysia memandangkan negara bergantung kepada import dari beberapa wilayah berkenaan.

Amerika Latin merupakan antara sumber penting bahan mentah berkaitan makanan, manakala India pula rakan perdagangan utama bagi input dan produk makanan.

Berdasarkan unjuran terbaharu Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), bekalan beras global dijangka menurun 1.6 peratus tahun depan berbanding anggaran peningkatan satu peratus dalam permintaan.

Keadaan itu boleh menyebabkan stok beras global merosot kira-kira dua peratus, manakala pengeluaran gandum dijangka susut 3.8 peratus dengan beberapa wilayah mencatatkan penurunan sehingga 26 peratus.

Pengeluaran jagung pula diunjurkan menurun 2.7 peratus.

“Sebaliknya, kacang soya dijangka terus menambah angka. Jadi, bukan semuanya berita buruk. Ada tanaman yang mencatatkan pertumbuhan dan ada yang tidak menjadi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan produk bermusim seperti sayur-sayuran dan telur masih terdedah kepada perubahan bekalan serta harga.

Bagi Malaysia, beliau berkata keadaan bekalan makanan secara keseluruhan masih mencukupi, dengan bekalan melebihi permintaan kira-kira 10 peratus bagi kebanyakan kategori yang sedang dipantau.

Bekalan industri, ubat kekal stabil

Nurhisham berkata bekalan bahan dan input perindustrian juga tidak menghadapi masalah ketara ketika ini, meskipun sesetengah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan kekurangan bekalan tertentu.

“Kita masih mampu mendapat apa sahaja yang diperlukan termasuk barangan seperti plastik,” katanya.

Beliau berkata bekalan alat perubatan dan ubat-ubatan turut berada dalam keadaan stabil, dengan kurang daripada setengah dozen kategori ubat dikenal pasti sebagai kritikal.

Katanya, kebanyakan ubat lain masih mempunyai alternatif atau boleh digantikan dengan ubat tersedia di pasaran, termasuk antihistamin yang mempunyai beberapa pilihan alternatif.

Inflasi kekal sekitar dua peratus

Mengenai inflasi, Nurhisham berkata keadaan keseluruhan kekal terurus pada kadar kira-kira dua peratus setahun, manakala inflasi makanan secara amnya masih sejajar dengan trend semasa.

Katanya, terdapat beberapa kategori yang menunjukkan peningkatan harga, sebahagiannya dipengaruhi kenaikan kos tenaga terutama diesel.

“Dengan pengumuman baru-baru ini mengenai kenaikan peruntukan bulanan BUDI MADANI RON95, kita berharap dapat menampung beban ini,” katanya.

Had kelayakan asas bulanan BUDI MADANI RON95 dinaikkan daripada 200 kepada 300 liter mulai 1 September lalu, dengan harga subsidi kekal RM1.99 seliter bagi RON95 dan RM2.10 seliter bagi diesel di bawah skim masing-masing.

Perbelanjaan infrastruktur mungkin dipercepat

Dalam perkembangan berkaitan, Nurhisham berkata kerajaan mungkin perlu mempercepatkan sebahagian perbelanjaan bagi membiayai projek infrastruktur kritikal, termasuk projek penjanaan bekalan air dan elektrik, susulan peningkatan keperluan di kawasan tertentu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan objektif konsolidasi fiskal jangka panjang kerajaan kekal tidak berubah dengan sasaran defisit pada tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Sasaran itu mungkin perlu diselaraskan untuk tahun semasa berikutan keperluan perbelanjaan tambahan, tetapi kerajaan tidak menjangkakan perubahan selanjutnya kepada laluan konsolidasi fiskal mulai tahun depan.

“Tahun ini, malangnya, kami terpaksa menggubahnya tetapi tahun depan ke atas, ia tidak sepatutnya,” katanya.

Related Posts

Belanjawan 2027: Golongan kurang berkemampuan, M40 dijangka jadi fokus

GOLONGAN berpendapatan pertengahan (M40) dan kumpulan kurang berkemampuan dijangka menjadi antara fokus utama Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan bulan depan, susulan tekanan kos sara hidup serta cabaran ekonomi yang terus…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pasaran modal Malaysia kekal tawarkan peluang pelaburan menarik

KUALA LUMPUR – Asas ekonomi Malaysia yang kukuh terus menyediakan ruang dan peluang pelaburan yang menarik dalam pasaran modal negara. Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, pendidikan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Bekalan bahan api stabil, harga minyak global dijangka kekal tinggi

Bekalan bahan api stabil, harga minyak global dijangka kekal tinggi

Sistem pengurusan hospital diperkemas atasi kesesakan, pendekkan masa menunggu

  • By Fatin
  • September 7, 2026
Sistem pengurusan hospital diperkemas atasi kesesakan, pendekkan masa menunggu

Belanjawan 2027: Golongan kurang berkemampuan, M40 dijangka jadi fokus

Belanjawan 2027: Golongan kurang berkemampuan, M40 dijangka jadi fokus

Arsenal bangkit kalahkan Chelsea 2-1

Arsenal bangkit kalahkan Chelsea 2-1

Wan Azizah gesa suara wanita diterjemah kepada dasar, bukan sekadar statistik

Wan Azizah gesa suara wanita diterjemah kepada dasar, bukan sekadar statistik

Selangor tutup sekolah jika IPU melebihi 200

Selangor tutup sekolah jika IPU melebihi 200