
KOTA KINABALU – Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada Jumaat ini, 11 September.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Perdana Menteri serta dihadiri Premier Sarawak dan dihoskan Ketua Menteri Sabah.
“Jadi ramai pemimpin negara akan hadir. Mesyuarat ini akan diadakan di SICC, Kota Kinabalu,” katanya semasa ditemui media pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Mangsa Kebakaran Murid Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, di sini pada Isnin.
Untuk rekod, persidangan peringkat tertinggi ini dianggap kritikal bagi memurnikan baki tuntutan tertunggak hak wilayah Borneo.
Setakat tahun ini, Kerajaan Persekutuan telah mencatatkan pencapaian terbaik apabila berjaya menyelesaikan 13 daripada 29 tuntutan utama di bawah MA63.
Antara kejayaan besar sebelum ini termasuklah penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, serta pelantikan wakil tetap kedua-dua wilayah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beberapa agenda besar yang dijangka akan mendominasi rundingan Jumaat ini termasuklah semakan pemberian khas interim, perkembangan status cadangan memulihkan kuota 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta tuntutan pemulangan hasil bersih 40 peratus bagi negeri Sabah.
Sebagai persediaan rapi selaku tuan rumah, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor baru-baru ini dilaporkan telah mempengerusikan Mesyuarat Pre-Council di Menara Kinabalu bagi menyelaraskan semua kertas cadangan strategik sebelum ia dibawa ke meja rundingan rasmi bersama Perdana Menteri.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen tinggi Kerajaan MADANI yang meletakkan pelaksanaan perjanjian ini sebagai salah satu agenda nasional utama demi memastikan keadilan geografi dan semangat federalisme yang seimbang.






