
TAWAU – Sistem pengurusan hospital di negeri ini terus diperkemas bagi menangani isu kesesakan pesakit serta mengurangkan tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, perkara itu juga telah dibincang bersama di peringkat Hospital Tawau.
“Sebenarnya isu ini bukan hanya di peringkat daerah Tawau, malah di mana-mana lagi, terutama di bandar besar seperti Kota Kinabalu yang mempunyai kepadatan pesakit dan pelawat tinggi.
“Ini memang isu yang kita cuba untuk mendapatkan solusi lebih baik walaupun dalam jangka masa pendek,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Program Jiwa@Komuniti Madani Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) peringkat DUN Kukusan.

Menurut Rina, kementeriannya memberi tumpuan kepada penambahbaikan pentadbiran dan pengurusan hospital bagi menyeragamkan sistem serta memperkemas pengurusan pesakit agar tiada yang tercicir atau terlepas daripada menerima perhatian dan rawatan sewajarnya.
“Daripada peringkat pentadbiran dan pengurusan sendiri, ada banyak sistem yang telah direform dan diubah untuk memastikan, menyeragamkan apa yang telah dicadangkan.
“Setakat ini tidak ada lagi laporan bahawa pesakit tidak dilayani atau tidak mendapat perhatian,” ujarnya.

Mengenai HKHM, Rina yang juga ADUN Kukusan menyifatkan program berasaskan pendekatan ‘outreach’ itu penting bagi mendekatkan kerajaan dengan masyarakat.
“Ini mampu memperkasakan rakyat dan mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan masyarakat khususnya dalam menyemarakkan semangat perpaduan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Kita mahu program yang dilaksanakan bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi turut menyemai rasa cinta kepada negara dan memperkukuh keharmonian dalam komuniti,” jelasnya.





