SERDANG – Siasatan yang sedang dijalankan terhadap mana-mana pemimpin politik dan pegawai tertinggi agensi kerajaan ketika ini oleh pihak berkuasa tidak didorong unsur dendam atau iri hati.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau langsung tidak terlibat dengan siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terbabit sebelum keputusan pendakwaaan ditentukan Peguam Negara.
.
Menurut beliau, tugas yang menjadi keutamaannya adalah dengan memastikan kerajaan ditadbir berlandaskan peraturan bagi menghentikan penyelewangan gejala rasuah.
“Ada kata fasal dendam atau iri hati. Yang siasat bukan saya, yang siasat itu badan-badan penguatkuasa. Yang memutuskan untuk mendakwa Peguam Negara dan pasukan dia yang meneliti setiap kes.
“Yang menghukum itu hakim. Apa tugas saya adalah memastikan pemerintahan ikut hukum itu berjalan. Penyelewengan rasuah dihentikan, ini bukan momokan politik biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, pada Ahad.
Baru-baru ini, beberapa pemimpin politik dan tokoh berpengaruh telah didakwa di mahkamah selain terdapat siasatan yang sedang dilakukan ke atas beberapa yang lain melibatkan pelbagai kes daripada rasuah, salah guna kuasa, dan penyelewengan dana.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, penganjuran MAHA 2026 membuktikan komitmen kerajaan dalam memartabatkan sektor pertanian negara sekali gus memperkasa agenda keterjaminan makanan.
Sehubungan itu, beliau berkata peruntukan sektor berkenaan perlu dipertingkatkan selaras dengan pencapaian membanggakan direkodkan sektor itu.
“Dulu jumlah eksport nanas kecil tetapi sekarang jumlahnya sudah besar. Jumlah pengeluaran bawang dulu hampir tidak ada, sekarang dah berkembang. Ini menggambarkan pertanian masa kini sudah moden, hubungan antarabangsa daripada import eksport dan perdagangan meningkat.
“Oleh itu, saya berasa bangga bersama-sama dalam Majlis Penutup MAHA ini. Satu deretan program MAHA yang sudah menjangkau lebih lima dekad. Ternyata MAHA 2026 dengan pasukan hebat tahun ini mencatat kemajuan tinggi dalam sejarah,” katanya
Terdahulu, edisi ke-14 MAHA yang berlangsung selama 10 hari bermula 28 Ogos lalu akan melabuhkan tirainya pada hari ini.
MAHA merupakan platform utama sektor pertanian negara yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, usahawan serta institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi bagi mengetengahkan inovasi, teknologi dan peluang perniagaan dalam sektor agromakanan.





