
KOTA KINABALU – Kementerian Kesihatan Malaysia meluluskan lima permohonan bernilai keseluruhan RM500,000 bagi meningkatkan keupayaan rawatan, teknologi dan kemudahan Pusat Pakar Pergigian Sabah (PPPS).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PPPS merupakan fasiliti rujukan kepakaran pergigian di luar persekitaran hospital pertama di Malaysia Timur.
“Kelulusan itu membabitkan perolehan Cone Beam Computed Tomography (CBCT), dua unit Co EMS Airflow Prophylaxis Master, Live Camera for Surgery, Intraoral Scanner serta kamera DSLR lengkap.
“Penyediaan peralatan berkenaan dijangka memperkukuh keupayaan PPPS dalam mengendalikan rawatan kepakaran, selain menyokong dokumentasi klinikal, digitalisasi, latihan dan penyelidikan,” ujarnya semasa merasmikan Pusat Pakar Pergigian Sabah di sini, pada Sabtu.
Menurut Dzulkefly berkata, PPPS yang dibangunkan menerusi pelaburan kerajaan berjumlah RM32.76 juta.
“Pusat ini berfungsi sebagai hab rujukan bagi rakyat Sabah, utara Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 3.95 juta penduduk.
“Sejak mula beroperasi pada 5 Januari hingga 31 Ogos lalu, PPPS merekodkan lebih 8,500 kehadiran pesakit.
“Pusat ini juga menghimpunkan empat disiplin utama di bawah satu bumbung iaitu Pergigian Restoratif, Periodontik, Ortodontik dan Kesihatan Awam Pergigian.
“Selain itu, ia turut dilengkapi 18 bilik rawatan dan 18 kerusi pergigian yang membolehkan kapasiti rawatan bulanan meningkat 100 peratus daripada 615 kepada 1,229 kehadiran pesakit,” kongsinya.
Tambahnya, pengoperasian pusat tersebut berjaya mengurangkan tempoh menunggu rawatan pakar sebanyak 50 peratus, daripada tiga tahun kepada 1.5 tahun.
“Kita jimatkan hari cuti bekerja rakyat, kita kurangkan kos perjalanan mereka dan kita segerakan kelegaan daripada kesakitan. Inilah penterjemahan sebenar prinsip Ihsan.
“Tansformasi PPPS turut dipacu agenda pendigitalan menerusi pelaksanaan Dental Information System (DIS): Clinical yang dijangka beroperasi pada 2027,” jelasnya.
Pusat berkenaan turut dilengkapi teknologi seperti pencetak tiga dimensi (3D), unit radiologi Orthopantomogram (OPG) dan mikroskop pergigian bagi membolehkan pengurusan kes kompleks dilaksanakan dengan lebih tepat.
Pada masa sama, KKM menyasarkan PPPS berkembang sebagai Pusat Kecemerlangan Kepakaran (CoE) Pergigian bagi Zon Malaysia Timur yang menyepadukan rawatan klinikal, latihan, penyelidikan, inovasi dan kerjasama strategik.







