
KABONG – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menyalurkan 900 karton air minuman botol kepada penduduk Kampung Sungai Pala yang terjejas akibat musim kemarau, pada Khamis.
Penghantaran fasa kedua dijangka menyusul pada Jumaat tertakluk kepada kapasiti logistik semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir memaklumkan pihaknya sentiasa berhubung rapat dengan agensi berkaitan bagi menyantuni keluhan rakyat.
“Kerjasama berterusan antara JKM Sarawak, JBALB, Pejabat Daerah, KMKK dengan Pusat Khidmat DUN N.40 Kabong diharap dapat membantu meringankan beban penduduk sepanjang tempoh musim kemarau,” katanya.

Mohd Chee menambah, permohonan bantuan daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) sentiasa dinilai secara teliti oleh Jawatankuasa Bencana Daerah.
Hal ini penting bagi menentukan jenis bantuan bersesuaian, baik melalui JKM mahupun penghantaran lori tangki oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
Agihan kelmarin turut dihadiri oleh Pegawai Tadbir Khas kepada ADUN Kabong, Nur Elffi Amir serta Pembantu Tadbir Perkeranian Operasi JKM Saratok, Juhayati Dahlan.






