
ARAU – Kementerian Pertahanan akan menjalankan kajian bagi menambah baik bayaran insentif kepada Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) sebagai usaha meningkatkan daya tarikan penyertaan mahasiswa dalam pasukan berkenaan.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian itu merangkumi beberapa bentuk bayaran termasuk Elaun Kehadiran Latihan Tempatan, Bounti Tahunan dan Pemberian Pakar.
Menurutnya, langkah tersebut antara usaha kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan Palapes terus relevan serta menjadi antara laluan kerjaya pilihan yang menarik kepada golongan mahasiswa.
“Kementerian Pertahanan akan menjalankan kajian penambahbaikan bayaran insentif bagi Pegawai Kadet Palapes merangkumi Elaun Kehadiran Latihan Tempatan, Bounti Tahunan dan Pemberian Pakar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Eksekutif Palapes Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata, ATM turut meneliti cadangan memberi peluang kepada Pegawai Kadet Palapes menjalani latihan industri di unit dan pasukan Angkatan Tetap.
Katanya, pendedahan itu penting bagi membolehkan mereka merasai sendiri suasana serta persekitaran tugas sebenar dalam ATM termasuk di unit, kapal, pangkalan dan formasi tertentu.
Menurutnya, penyertaan mahasiswa dalam Askar Wataniah juga berpotensi mendapat pengiktirafan jam kredit akademik tertakluk kepada kelulusan institusi pengajian tinggi masing-masing.
Katanya, penglibatan tersebut bukan sahaja boleh diiktiraf sebagai aktiviti kokurikulum, malah mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan diri, kepimpinan dan kebolehpasaran mahasiswa.
Beliau berkata, usaha berkenaan antara inisiatif di bawah Nota Kerjasama antara ATM dan Jabatan Pendidikan Tinggi yang dimeterai bagi memperkukuh penyertaan mahasiswa dalam Askar Wataniah.
Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan dan ATM mahu Palapes terus ditambah baik supaya penyertaannya tidak hanya dilihat sebagai aktiviti sampingan di universiti, sebaliknya sebagai platform pembangunan kepimpinan dan laluan kerjaya dalam sektor pertahanan.



