KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) meminta bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad menjelaskan sebab beliau tidak hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), meskipun didakwa telah menerima sapina untuk berbuat demikian.
Gesaan itu susulan kenyataan Ahli RCI TH, Tan Sri Rashid Hussain, yang mendedahkan bahawa Madinah telah dipanggil secara rasmi untuk hadir di hadapan suruhanjaya berkenaan.
AMK berkata, pendedahan itu perlu diperjelaskan kerana sebelum ini timbul dakwaan bahawa Madinah tidak diberikan ruang untuk tampil memberikan keterangan kepada RCI.
“Jika benar beliau sudah dipanggil secara rasmi melalui sapina, mengapa fakta penting itu tidak dijelaskan kepada rakyat sejak awal?
“Justeru AMK menuntut Madinah memberikan penjelasan terbuka sama ada beliau menerima sapina tersebut, hadir memberikan keterangan atau mempunyai alasan tertentu sehingga tidak berbuat demikian.
“Rakyat berhak mengetahui keseluruhan fakta, bukan hanya fakta yang sesuai dengan sesuatu naratif,” katanya.
Dalam kenyataan sama, AMK menegaskan sebarang dakwaan berhubung perjalanan prosiding RCI perlu disokong bukti dan rekod, bukannya berdasarkan persepsi atau maklumat yang tidak lengkap.
“Jika ada bukti RCI gagal menjalankan tanggungjawabnya, kemukakan bukti dan rekod, bukannya membina persepsi seolah-olah RCI sengaja mengetepikan pihak tertentu,” katanya.
AMK berkata, kepentingan TH dan jutaan pendeposit perlu menjadi keutamaan dalam sebarang perbahasan berkaitan institusi berkenaan.
“Jangan kerana mahu mempertahankan satu naratif, keyakinan rakyat terhadap institusi dan proses mencari kebenaran pula menjadi mangsa.
“Dalam isu sebesar Tabung Haji, kebenaran tidak boleh dipilih mengikut keselesaan politik mana-mana pihak. Jika benar berlaku ketidakadilan, buktikan. Jika proses sapina telah dilaksanakan, akui dan jelaskan kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dakwaan bahawa Madinah tidak diberikan peluang untuk memberikan keterangan kepada RCI berkaitan TH adalah tidak benar.
Rashid yang juga Pengerusi Lembaga TH dilaporkan berkata rekod prosiding menunjukkan sapina telah dikeluarkan kepada Madinah untuk hadir memberikan keterangan pada 3 Jun 2022.
Madinah sebelum itu meminta supaya Timbalan Pengarah Audit Kewangan ketika itu, Dr Mona Othman, turut hadir bersamanya, namun permintaan berkenaan ditolak kerana setiap saksi perlu diperiksa secara individu.



