
KOTA KINABALU – Pelabur dan pemimpin perniagaan antarabangsa yang menyertai Sabah International Expo (SIE2026) digesa meneroka peluang besar dalam sektor Ekonomi Biru Sabah yang berpotensi menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, Ekonomi Biru menawarkan ruang pelaburan luas meliputi perikanan dan akuakultur mampan, bioteknologi marin, perkhidmatan maritim, pelancongan pesisir pantai dan pulau serta tenaga boleh diperbaharui marin.
“Sektor logistik, pembinaan dan pembaikan kapal serta pelbagai industri hiliran berasaskan sumber lautan turut mempunyai potensi besar untuk dibangunkan di Sabah.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan sumber-sumber ini dibangunkan secara bertanggungjawab dan mampan, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi sambil melindungi ekosistem marin yang amat penting kepada Sabah,” katanya dalam Majlis Makan Malam Selamat Datang, di sini pada Khamis.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Menurutnya, Sabah mempunyai potensi besar khususnya dalam membangunkan aktiviti hiliran bernilai tinggi daripada sumber marin, di samping menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi serta meningkatkan penyertaan usahawan dan perniagaan tempatan.
“Kemasukan pelaburan, teknologi dan perkongsian strategik yang tepat mampu membantu Sabah mewujudkan industri baharu, menjana pekerjaan serta membuka sumber pendapatan baharu kepada rakyat,”
“Kerajaan negeri tidak mahu Sabah sekadar mengeksport sumber mentah, sebaliknya mahu memastikan lebih banyak nilai ekonomi diwujudkan dalam negeri melalui industri hiliran, pemindahan teknologi, inovasi dan pembangunan kemahiran.
“Kita mahu mewujudkan nilai yang lebih tinggi daripada sumber-sumber tersebut di Sabah. Kita mahu menggalakkan industri hiliran, pemindahan teknologi, inovasi, pembangunan kemahiran dan penyertaan yang lebih kukuh daripada perniagaan tempatan.
“Pendekatan itu penting bagi membina ekonomi Sabah yang lebih pelbagai, berdaya tahan dan mampan, selain menjadikan Ekonomi Biru sebagai bidang berpotensi tinggi untuk kerjasama serantau dan antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kedudukan geografi Sabah di tengah-tengah Borneo serta berhampiran pasaran utama ASEAN dan Asia-Pasifik memberikan kelebihan strategik kepada negeri ini untuk berkembang sebagai penghubung pasaran.
“Kedudukan Sabah yang berhampiran Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina turut memberi peluang untuk negeri itu memainkan peranan lebih besar dalam perdagangan dan pelaburan serantau menerusi kerangka BIMP-EAGA.
“Sabah mahu muncul bukan sekadar sebagai destinasi, tetapi sebagai hab perniagaan serantau dan pintu masuk ke pasaran lebih luas, selaras dengan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi tumpuan kepada infrastruktur, kesalinghubungan, modal insan dan pelaburan berkualiti.
“Saya turut mengalu-alukan penyertaan peserta SIE2026 dari lebih 15 negara termasuk Australia, Brunei Darussalam, China, Denmark, Finland, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Korea, Filipina, Poland, Singapura, Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat, Senegal dan Zambia.
“Saya memberi jaminan kepada semua tetamu bahawa Sabah terbuka untuk perniagaan, terbuka kepada perkongsian dan terbuka kepada idea baharu,” tegasnya.







