BANGI – Isu membabitkan pelaburan dan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat mempunyai corak hampir sama dengan kes FGV Holdings Bhd berdasarkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai dana haji itu.
Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, apabila membaca laporan RCI TH itu, beliau merasakan seperti ‘deja vu’ susulan pernah membaca laporan yang hampir sama berlaku kepada organisasi berkaitan kerajaan sebelum ini.
“Apabila baca laporan RCI itu, saya ada rasa sedikit ‘deja vu’. Ia hampir sama dengan apa yang berlaku dengan FGV. Isu-isu yang timbul adalah sama.
“Aset bagi dana haji ini dibeli tanpa jaminan mencukupi, pada harga dinaikkan serta tanpa proses usaha yang sewajarnya.
“Semua ini seolah-olah menunjukkan corak sama (seperti apa yang berlaku kepada FGV Holdings),” katanya ketika Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di Hotel Tenera, pada Khamis.
FGV Holdings ialah anak syarikat FELDA, yang mana kerajaan terpaksa membayar hampir RM1 bilion setahun bagi melunaskan komitmen kewangan dan hutang.
Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, FELDA berdepan kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus dan campur tangan politik yang berlebihan.
Sebahagian pendeposit membangkitkan kebimbangan sama ada kerajaan mampu menanggung beban berkenaan selepas RCI mendedahkan salah urus kewangan di TH.
Nurhisham berkata, Malaysia ‘bukan Argentina atau Greece’, merujuk kepada krisis hutang yang dihadapi kedua-dua negara berkenaan sehingga menjerumuskan mereka kepada muflis.
“Kerajaan Malaysia tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab kewangannya. Kita sentiasa membuat pembayaran,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan penerbitan sukuk bernilai RM11.5 bilion bukanlah usaha menyelamatkan TH, sebaliknya proses pembiayaan semula yang memberi kelebihan aliran tunai berterusan kepada institusi itu.
Nurhisham memaklumkan, penerbitan sukuk baharu itu menggantikan sukuk terdahulu yang diterbitkan oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).
“Sukuk asal yang diterbitkan UJSB adalah tanpa kupon, bermakna TH tidak memperoleh pulangan tahunan daripada sukuk berkenaan.
“Apabila sukuk terdahulu matang, ia digantikan dengan sukuk baharu, namun sukuk ini memberikan pulangan setiap tahun. Jadi, ia memberi manfaat kepada TH kerana institusi itu memperoleh aliran tunai setiap tahun,” katanya.
Mengenai profil risiko penerbitan itu, beliau berkata, potensi risiko kewangan sukuk berkenaan sebenarnya ditanggung kerajaan dan bukannya TH atau pendepositnya.
Katanya, nilai sukuk itu sebahagian besarnya bergantung kepada nilai aset sedia ada yang diletakkan di bawah pengurusan UJSB.
“Sekiranya UJSB tidak dapat merealisasikan nilai penuh aset berkenaan, kerajaan tetap akan melaksanakan tanggungjawabnya di bawah Akta Tabung Haji untuk melindungi semua dana pendeposit,” katanya.
Laporan RCI menyimpulkan gabungan komitmen hibah berlebihan, amalan perakaunan yang boleh dipersoalkan, pengawasan lemah, strategi pelaburan terlalu bercita-cita tinggi dan peningkatan tanggungjawab subsidi, memberi tekanan kewangan ketara kepada TH antara 2014 hingga 2020.



