RCI buktikan dakwaan aset TH dijual kepada orang Cina tidak benar – Mujahid

BANGI – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akhirnya menjawab pelbagai tuduhan UMNO dan Pas, khususnya dakwaan Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 menjual aset kepada orang Cina.

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, tuduhan berhubung aset TH kononnya dijual kepada orang Cina telah berlarutan bertahun-tahun sehingga menjadi isu politik walaupun sudah dijelaskan di Parlimen.

Menurutnya, apabila RCI diumumkan, beliau mahu melihat sendiri dapatan suruhanjaya itu bagi menentukan sama ada pelan pemulihan TH yang dilaksanakan ketika beliau menjadi menteri benar atau sebaliknya.

“Lapan tahun orang bercakap, lapan tahun kemudian keluar RCI dan kemudian menteri menjawab, tidak ada aset yang dijual kepada orang Cina. Dalam Parlimen pun telah dijawab,” katanya ketika menyertai sesi Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi hari ini.

“Saya nak tengok apa keputusannya. Betul tak aku salah? Betul tak proses pemulihan ini satu scam? Betul tak UJSB ini bagi buang duit rakyat, buang duit negara?

“Pada saat benda itu diumumkan, saya orang pertama yang paling gembira kerana kebanyakan daripada tuduhan-tuduhan itu telah dijawab oleh laporan RCI,” katanya ketika sesi soal jawab Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di Hotel Tenera, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, penubuhan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) bukan satu keputusan yang berdiri sendiri sebaliknya merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut beliau, pelan berkenaan dirangka dengan matlamat jangka pendek untuk memastikan aset TH kembali melebihi liabiliti serta membolehkan institusi itu kembali mematuhi kehendak Seksyen 22(3)(a) Akta Tabung Haji.

“UJSB adalah produk daripada satu struktur yang lebih besar, satu yang lebih utama iaitu Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula.

“Pelan pemulihan dan penstrukturan semula dibuat atas satu matlamat, yang kita kata jangka pendek. Kita hanya ada lebih kurang tiga bulan untuk menutup supaya aset lebih tinggi daripada liabiliti dan nak kembali patuh kepada Seksyen 22(3)(a),” katanya.

Mujahid yang juga Timbalan Presiden Amanah berkata, idea memindahkan aset bermasalah daripada TH kepada sebuah entiti khas turut mengambil inspirasi daripada pendekatan pemulihan sektor perbankan ketika krisis kewangan Asia 1997/1998.

“Aset tidak berprestasi milik TH ketika itu yang dianggarkan bernilai sekitar RM10 bilion dipindahkan dan distrukturkan melalui penerbitan sukuk.

“Di sinilah bila nak keluarkan sukuk, siapa yang nak keluarkan? Maka lahirlah daripada pelan yang besar itu, perlu kepada SPV (syarikat tujuan khas),” katanya.

Tambahnya, UJSB kemudiannya menjadi mekanisme untuk melaksanakan sebahagian daripada pelan pemulihan berkenaan termasuk membantu TH memperbaiki kedudukan aset dan liabilitinya.

Beliau menegaskan, langkah tersebut akhirnya membolehkan sasaran jangka pendek pelan pemulihan dicapai dalam tempoh sekitar tiga bulan.

“Penerbitan sukuk yang menjadi sebahagian daripada mekanisme tersebut juga sering disalah tafsir seolah-olah TH memperoleh wang secara tiba-tiba, sedangkan sukuk itu sendiri merupakan aset.

“Kadar pulangan sukuk berkenaan yang pada awalnya sekitar 1.25 peratus kemudiannya meningkat sehingga kadar yang dinikmati TH pada masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid mengakui beliau sudah bersedia untuk menjadi tidak popular ketika keputusan pemulihan TH dibuat.

Beliau menegaskan, peranannya ketika itu adalah pada peringkat dasar manakala urusan profesional dan pengurusan dilaksanakan oleh pihak pengurusan TH.

“Saya bukan orang perakaunan. Saya lulusan PhD di bahagian Siasah Syariah sahaja. Tetapi saya membiarkan orang profesional melakukannya tanpa ada apa-apa campur tangan.

“Saya cuma memimpin dasar dan menjadi orang tengah antara Tabung Haji dengan Kabinet. Saya yang membentang dan Alhamdulillah diluluskan,” katanya.

Katanya, beliau ketika itu memberi ruang kepada kepimpinan dan pengurusan profesional TH menjalankan tugas masing-masing tanpa campur tangan politik dalam urusan operasi.

“Saya kata kepada pengerusi waktu itu, Tan Sri, you do your job as a professional. Soal orang nak serang Tabung Haji secara politik, let me handle it. Saya bersedia untuk menjadi orang yang tidak popular,” katanya.

Mujahid berkata, pengalaman TH juga sepatutnya menjadi pengajaran kepada masyarakat agar tidak terus mengulangi tuduhan yang telah dijawab melalui proses rasmi.

Menurutnya, cabaran lebih besar selepas RCI bukan lagi sekadar mempertahankan mana-mana pihak, tetapi memastikan masyarakat belajar untuk menilai maklumat secara bertanggungjawab.

“Cabaran besar saya sebagai orang politik ialah bagaimana saya mendidik masyarakat supaya mereka berpegang kepada maklumat yang betul.

“Bertindak atas maklumat yang betul, bukan bertindak atas kepuasan,” katanya.

Related Posts

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini di fasa menuju perubahan besar dalam aspek kawal selia bagi memastikan institusi kewangan Islam itu beroperasi mengikut piawaian keselamatan dan profesionalisme tertinggi.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan tiada mana-mana ahli politik dalam barisan Lembaga Pengarah institusi itu ketika ini. Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain menegaskan, perkara itu penting…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kementerian Pertahanan kaji naik taraf insentif Palapes

Kementerian Pertahanan kaji naik taraf insentif Palapes

Dunia pertahanan kini perlu kepakaran baharu termasuk AI – Khaled

Dunia pertahanan kini perlu kepakaran baharu termasuk AI – Khaled

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

AMK mahu Madinah perjelas isu sapina RCI Tabung Haji

AMK mahu Madinah perjelas isu sapina RCI Tabung Haji

Amaran risiko kecairan BNM tidak diendahkan TH sejak 2014

Amaran risiko kecairan BNM tidak diendahkan TH sejak 2014