RCI TH: Bekas pengurus THP Bina, timbalan pengurus besar didakwa kes RM72,000

KUALA LUMPUR – Dua bekas pegawai syarikat berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung kes pecah amanah dan bersubahat melakukan pecah amanah wang hasil kutipan penalti berjumlah RM72,000.

Bekas Pengurus Keselamatan dan Kesihatan THP Bina Sdn Bhd, Nasahruddin Ahmad, 56, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, manakala bekas Timbalan Pengurus Besar TH Properties Sdn Bhd dan THP Bina Sdn Bhd, Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin, 55, menghadapi tiga pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan sama.

Nasahruddin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Nasahruddin yang diamanahkan mengurus wang hasil kutipan penalti daripada kontraktor Fourth Wave Sdn Bhd, didakwa melakukan pecah amanah dengan memasukkan wang berjumlah RM72,000 itu ke dalam akaun bank miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Islam Putrajaya, Presint 3, Putrajaya, antara 26 April 2013 hingga 12 Ogos 2015.

Wang berkenaan membabitkan hasil kutipan penalti berkaitan projek cadangan pembangunan kompleks pejabat di Presint 3, Putrajaya, yang merangkumi Blok A dan Blok B, auditorium serta tempat letak kereta bawah tanah; Blok C dan tempat letak kereta bawah tanah serta Blok D dan tempat letak kereta bawah tanah untuk THP Bina Sdn Bhd.

THP Bina Sdn Bhd ialah anak syarikat milik penuh TH Properties Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat TH dan menjalankan aktiviti dalam bidang pembinaan serta pengurusan projek.

Nasahruddin didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras berkata, kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan tidak boleh dijamin, namun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan.

Beliau memohon jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan serta tiga syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu atau menghubungi mana-mana saksi yang berkemungkinan terlibat dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Naqib Aiman Mohd Faizal yang mewakili Nasahruddin memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya kini mengusahakan kedai makan dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan serta menanggung empat anak berusia antara 21 hingga 26 tahun.

Beliau berkata, Nasahruddin juga hadir sendiri ke pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan dan sebelum ini diberikan jaminan RM10,000.

“Anak guam saya dan keluarganya menetap di Bukit Tinggi, Klang dan merupakan warganegara Malaysia, justeru tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kes berkenaan membabitkan wang penalti terhadap kontraktor dan bukan wang milik pendeposit TH.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Rosli membenarkan Nasahruddin diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat supaya tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 5 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi, Tengku Kamarolhisham turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat melakukan perbuatan sama.

Mengikut pertuduhan, Tengku Kamarolhisham didakwa bersubahat dengan mengarahkan Nasahruddin memasukkan wang berjumlah RM72,000 berkenaan ke dalam akaun bank miliknya.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan tempoh sama serta didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama.

Irna Julieza menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan serta syarat tambahan sama seperti dikenakan terhadap Nasahruddin.

Muhammad Naqib Aiman yang mewakili Tengku Kamarolhisham memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya kini bekerja sebagai peniaga dan menanggung enam anak berusia antara 13 hingga 29 tahun.

Hakim Azura kemudian membenarkan Tengku Kamarolhisham diikat jamin RM45,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan pasport tertuduh diserahkan sehingga kes selesai dan beliau tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Oktober ini.

Sebelum ini, SPRM memperoleh perintah reman terhadap 11 individu bagi membantu siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji.

Antara individu yang direman termasuk bekas pengerusi TH, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO), bekas menteri serta beberapa bekas pengurusan kanan dan individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkaitan.

Related Posts

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini di fasa menuju perubahan besar dalam aspek kawal selia bagi memastikan institusi kewangan Islam itu beroperasi mengikut piawaian keselamatan dan profesionalisme tertinggi.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan tiada mana-mana ahli politik dalam barisan Lembaga Pengarah institusi itu ketika ini. Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain menegaskan, perkara itu penting…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kementerian Pertahanan kaji naik taraf insentif Palapes

Kementerian Pertahanan kaji naik taraf insentif Palapes

Dunia pertahanan kini perlu kepakaran baharu termasuk AI – Khaled

Dunia pertahanan kini perlu kepakaran baharu termasuk AI – Khaled

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

AMK mahu Madinah perjelas isu sapina RCI Tabung Haji

AMK mahu Madinah perjelas isu sapina RCI Tabung Haji

Amaran risiko kecairan BNM tidak diendahkan TH sejak 2014

Amaran risiko kecairan BNM tidak diendahkan TH sejak 2014