BANGI – Segelintir pihak yang masih menganggap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai permainan politik disarankan menilai laporan berkenaan berdasarkan fakta dan proses perundangan yang dilalui.
Pengerusi Gabungan NGO Melayu Islam Malaysia, Mustapa Mansor berkata, laporan RCI berkenaan wajar diterima masyarakat kerana ia adalah hasil mekanisme rasmi yang menyampaikan maklumat dan dapatan untuk perhatian kerajaan dalam melaksanakan pemerkasaan TH.
Menurut beliau, tidak seharusnya pendedahan itu dilihat dari sudut politik semata-mata susulan telah melalui proses yang sewajarnya termasuk diputuskan Kabinet pada ketika itu serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya punya komen simple saja. Sebab kalau kita telah meletakkan RCI itu sebagai badan penyelaras, menyampaikan maklumat yang telah diputuskan oleh Kabinet pada waktu itu, dan telah pun dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong, seharusnya masyarakat awam dapat menerima laporan tersebut.
“Laporan ini mesti ada tindakan dari SPRM, dari PDRM, dan sebagainya. Jadi, kita kena fahamkan pada masyarakat. Sebab ini bukan unsur politik,” katanya ketika ditemui selepas Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di Hotel Tenera, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, sentimen RCI Tabung Haji mempunyai unsur politik hanya akan menyebabkan masyarakat terus berdepan dengan pelbagai pandangan dan tafsiran berbeza tanpa memahami perkara sebenar yang terkandung dalam laporan berkenaan.

“Kalau unsur politik semata-mata, nanti orang ini kata A, orang ini kata B dan sebagainya. Sebab itu kita perlu memberikan kefahaman kepada masyarakat supaya mereka mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.
“Sebab itu, bila pihak penganjur mendatangkan Pengerusi Tabung Haji (Tan Sri Abdul Rashid Hussin) sendiri dan salah seorang ahli dalam RCI, saya rasa banyak persoalan masyarakat yang masih keliru ni telah terjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, Gabungan NGO Melayu Islam Malaysia akan menggerakkan usaha penerangan ke seluruh negara bagi menjelaskan kedudukan sebenar RCI dan Tabung Haji kepada masyarakat.
Menurut beliau, pendekatan penerangan secara langsung kepada masyarakat penting bagi menangani kekeliruan yang masih timbul, khususnya dalam kalangan masyarakat yang belum mendapat penjelasan secukupnya mengenai RCI Tabung Haji.
“Kita akan bergerak ke seluruh Malaysia untuk menyampaikan apa yang sebenarnya berlaku terhadap RCI dan juga Tabung Haji. Kita sudah dimulakan di beberapa lokasi dan akan diteruskan dengan penglibatan kira-kira 30 NGO yang berada dalam gabungan berkenaan.
“Saya menyeru kepada seluruh sahabat kami daripada NGO-NGO gabungan, kita ada lebih kurang 30 NGO, untuk ikut serta menyampaikan apa yang sebenarnya kepada masyarakat umum, masyarakat awam di kampung-kampung terutamanya,” katanya.
Sementara itu, Mustapa turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM), termasuk ahli panel serta pakar yang menganjurkan sesi pencerahan mengenai RCI Tabung Haji kepada masyarakat.
Menurutnya, sesi pencerahan berkenaan turut membantu menjawab persoalan yang sebelum ini menimbulkan kekeliruan apabila pihak penganjur menampilkan Pengerusi Tabung Haji serta salah seorang ahli RCI untuk memberikan penjelasan secara langsung.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak penganjur, selain SPRM, PDRM, dan juga Tabung Haji yang begitu serius melihat perkara ini.Insya-Allah kami sebagai NGO MADANI ini akan terus memperjuangkan dalam memberi penerangan kepada masyarakat,” katanya.





