
KOTA KINABALU – Semangat untuk membawa pulang pingat emas menjadi harapan utama kontinjen para Sabah pada temasya Para SUKMA kali ini, dengan atlet dan jurulatih bertekad memberikan aksi terbaik dalam cabang masing-masing.
Jurulatih boccia Sabah, Bolodin Salinsig, berkata, sasaran utama pasukannya adalah untuk meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas, sekali gus menjadi pembakar semangat kepada barisan atlet yang akan berjuang membawa nama Sabah.
“Walaupun sukan boccia masih baharu berkembang di Sabah, pasukan berkenaan menunjukkan peningkatan positif selepas penyertaan terdahulu yang menyaksikan mereka berjaya meraih satu pingat perak dan satu gangsa.
“Antara cabaran utama pasukan Sabah ialah berdepan Sarawak yang mempunyai pengalaman lebih lama dalam sukan boccia.
“Namun saya yakin kemampuan atlet Sabah tidak harus dipandang ringan, terutama dengan persiapan dan keyakinan yang semakin meningkat,” ujarnya kepada media sebelum pasukan atlet Para SUKMA 2026 Selangor berlepas ke Selangor di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, pada Khamis.

Dalam pada itu, atlet para memanah Sabah, Faizal Saimin menjadikan pengalaman sukar yang pernah dilaluinya sebagai pembakar semangat untuk memburu kejayaan di Para SUKMA.
“Sebelum menyertai sukan para memanah, saya pernah terlantar di hospital sebelum meneruskan proses pemulihan di pusat rehabilitasi.
“Selepas saya selesai menjalani rawatan dan kembali ke kehidupan biasa, saya bertemu rakan-rakan yang aktif dalam sukan para.
“Dari situ saya bertanya mengenai sukan yang mereka sertai. Saya pun mahu mencuba dan akhirnya mula menyertai sukan memanah pada awal 2023,” ujarnya.

Faizal turut menyifatkan keluarga sebagai sumber sokongan terbesar sepanjang penglibatannya dalam sukan para memanah, selain mengakui cabaran untuk membuat persiapan ke Para SUKMA bukan mudah.
Menjelang temasya itu, Faizal berharap seluruh rakan seperjuangannya mampu memberikan aksi terbaik dan menterjemahkan segala usaha serta persiapan selama ini dengan kejayaan.
“Semoga kita berjaya di SUKMA Selangor tahun ini dan memperoleh apa yang kita sasarkan. Go for Gold!” katanya.





