Sulong Chalil dipindahkan ke Taman Negara Terengganu

GERIK – Gajah liar jantan yang dikenali sebagai ‘Sulong Chalil’ berjaya dipindahkan ke Taman Negara Terengganu, hari ini selepas dikesan berkeliaran di sekitar Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli sejak 17 Ogos lalu.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia berkata, pihaknya menjalankan pemantauan rapi terhadap pergerakan dan keadaan fizikal gajah berkenaan, termasuk kecederaan yang direkodkan pada kaki kanannya.

“Sebagai gajah jantan dewasa, pergerakan Sulong secara bersendirian merupakan tingkah laku semula jadi dan bukan petanda ia terpisah daripada kumpulan atau sedang mencari keluarganya.

“Selepas menilai aspek keselamatan, lokasi dan tahap kesihatan Sulong, operasi menangkap semula telah berjaya dilaksanakan pada 30 Ogos 2026 di kawasan JRTB, Gerik, Perak,” menurut kenyataan PERHILITAN di Facebook hari ini.

Seterusnya, pada 1 September lalu, proses pemindahan Sulong dijalankan dengan sokongan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan dua ekor gajah denak, Rambai dan Cheri.

Sepanjang operasi berkenaan, Sulong turut menerima pemantauan dan rawatan veterinar secara berterusan.

Perhilitan berkata, kecederaan pada kaki kanan gajah itu kini menunjukkan perkembangan positif, manakala rawatan susulan akan diteruskan berdasarkan penilaian Pegawai Veterinar.

“Pada 2 September 2026, Sulong telah dipindahkan ke Taman Negara Terengganu melalui pintu masuk Tasik Kenyir, kawasan habitat hutan semula jadi yang sesuai untuk gajah liar.

“Pemindahan ini bertujuan menyediakan persekitaran yang lebih selamat serta mengurangkan risiko konflik dengan manusia dan kemalangan jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Perhilitan menegaskan kebajikan Sulong serta keselamatan orang awam dan anggota operasi sentiasa menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan.

Menurutnya, setiap tindakan dilaksanakan berdasarkan penilaian keadaan di lapangan bagi memastikan risiko terhadap semua pihak dapat diminimumkan.

Perhilitan turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat serta orang ramai atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang usaha pemantauan, penyelamatan dan pemindahan gajah berkenaan.

Related Posts

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini di fasa menuju perubahan besar dalam aspek kawal selia bagi memastikan institusi kewangan Islam itu beroperasi mengikut piawaian keselamatan dan profesionalisme tertinggi.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan tiada mana-mana ahli politik dalam barisan Lembaga Pengarah institusi itu ketika ini. Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain menegaskan, perkara itu penting…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Martinelli keluar Arsenal, masuk Al Hilal

Martinelli keluar Arsenal, masuk Al Hilal

Lelaki rugi RM161,400 terpedaya tawaran tender bekalan stesen jana kuasa palsu

Lelaki rugi RM161,400 terpedaya tawaran tender bekalan stesen jana kuasa palsu

JKM salur 900 karton air minuman bantu penduduk terjejas kemarau

JKM salur 900 karton air minuman bantu penduduk terjejas kemarau

Kekal OPR bukti Bank Negara yakin pertumbuhan ekonomi Malaysia

Kekal OPR bukti Bank Negara yakin pertumbuhan ekonomi Malaysia

Kementerian Pertahanan kaji naik taraf insentif Palapes

Kementerian Pertahanan kaji naik taraf insentif Palapes

Dunia pertahanan kini perlu kepakaran baharu termasuk AI – Khaled

Dunia pertahanan kini perlu kepakaran baharu termasuk AI – Khaled