
LUNDU – Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs) Cawangan Lundu menjadi institusi pertama Pendidikan dan Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET) di Malaysia yang menawarkan kursus e-sukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, e-sukan bukan sahaja menjadi hiburan.
“E-sukan kini menjadi industri yang kini berkembang dengan pesat dan mampu memberikan pulangan lumayan,” kata beliau.
Tambah beliau, kepentingan e-sukan kini terbukti apabila pasukan negara, Selangor Red Giants berjaya membawa wang tunai lebih RM4 juta apabila menang kejohanan pada peringkat antarabangsa.
Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Centexs Lundu kerana belum ada mana-mana institusi TVET di seluruh negara menawarkan kursus e-sukan.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Inisiatif TVET yang berlangsung di Centexs Cawangan Lundu pada Sabtu.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, e-sukan turut mewujudkan industri penghasilan kandungan kreatif berkaitan jenis permainan.
“Kita mampu melahirkan dan mewujudkan ramai anak-anak lepasan TVET untuk berada pada peringkat dunia melalui kandungan e-sukan mengikut versi Malaysia,” jelas beliau.





