
KUCHING – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak mengemukakan cadangan strategik berkaitan pendidikan tinggi dan penyelidikan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi pada Selasa.
Kunjungan yang diketuai oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr Firdaus Abdullah bersama Pro-Canselor, Datuk Abdul Wahab Aziz itu turut membentangkan cadangan pelaksanaan FTES untuk anak Sarawak di universiti awam serta penubuhan Kursi Tun Openg History & Heritage (TOHHa).
“Cadangan berkenaan bertujuan memastikan kepakaran dan hasil penyelidikan universiti dapat dimanfaatkan bagi menyokong keperluan pembangunan negeri,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi pada Rabu.
Antara fakta penyelidikan yang turut diketengahkan ialah inisiatif Sarawak Nano-Satellite (Kenyalangsat-1), selain perancangan bagi menganjurkan 16 persidangan tempatan dan antarabangsa yang merangkumi bidang teknologi digital, inovasi serta kelestarian.
Pertemuan strategik berkenaan dijangka membuka peluang yang lebih luas bagi mengukuhkan kerjasama bersepadu antara institusi akademik dengan kerajaan Sarawak serta pihak industri.
Foto: Pejabat Premier Sarawak






