
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang bekas menteri berhubung siasatan berkaitan kes laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, hari ini.
Menerusi laman TikTok SPRM, penahanan dilakukan kira-kira jam 4.30 petang tadi dan berdasarkan isu pajakan hotel di Arab Saudi.
“Bekas Menteri itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret, Putrajaya bagi permohonan reman, esok,” katanya.
Difahamkan, bekas menteri lelaki itu berusia lingkungan usia 60-an, ditahan semasa hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 merujuk kepada kesalahan rasuah berkaitan perbuatan meminta atau menerima suapan.
Pada 27 Ogos lalu, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan (MoF) direman tujuh hari berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Perintah reman sehingga 2 September depan dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.






