
MIRI – Keputusan kerajaan meningkatkan kuota subsidi bahan api menerusi inisiatif BUDI MADANI disifatkan sebagai satu respons positif terhadap kebimbangan rakyat berhubung bebanan kos harian.
Ahli Parlimen Miri yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, kelayakan BUDI95 kini dikembalikan kepada 300 liter sebulan bermula 1 September.
Pemilik kenderaan pacuan empat roda dan jip diesel di bawah BUDI Diesel pula bakal menerima kelayakan subsidi sehingga 400 liter sebulan.
“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana mendengar kebimbangan yang dibangkitkan rakyat berikutan pelaksanaan mekanisme subsidi bahan api bersasar,” katanya.
Chiew menjelaskan bahawa bentuk muka bumi Sarawak menuntut rakyat menempuh jarak jauh untuk pelbagai urusan penting, manakala banyak komuniti pedalaman masih bergantung kepada generator diesel.
Beliau sebelum ini telah mengumpul maklum balas tempatan secara rasmi dan memanjangkannya kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Bagaimanapun, satu mekanisme semakan berkala wajar dipertimbangkan bagi memperhalusi kriteria kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang dilihat masih mengekang keupayaan operasi segelintir peniaga kecil.






