
SARATOK – Seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan polis selepas disyaki memukul serta mengeluarkan ugutan bunuh terhadap adik perempuannya dalam satu kejadian di Kampung Nyabor, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, insiden tercetus apabila suspek yang berang selepas dimarahi bertindak memukul bahagian kepala dan bahu wanita berusia 40 tahun itu menggunakan tangan.
Suspek yang merupakan abang kandung mangsa turut menjeritkan kata-kata ancaman untuk membunuh mangsa.
“Selepas itu, suspek keluar dari rumah dan bertindak memukul cermin di hadapan kereta milik pengadu menggunakan tangan sehingga menyebabkan cermin tersebut retak,” katanya.
Mathew memaklumkan suspek berjaya ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok dan saringan awal mendapati dia positif dadah jenis amphetamine serta methamphetamine.
Lelaki terbabit turut disahkan mempunyai tiga rekod jenayah lampau yang telah diambil tindakan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) bagi membantu melengkapkan siasatan.







