
PUTRAJAYA – Jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada mantan Perdana Menteri sejak 2018, menurut Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Penjelasan itu dibuat susulan pertanyaan berhubung kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pagi tadi.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, berdasarkan pengesahan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menguruskan jemputan bagi acara rasmi utama Kerajaan Persekutuan, terdapat tatacara pengurusan jemputan yang berkuat kuasa bagi sambutan berkenaan.
“Berdasarkan amalan sejak tahun 2018, jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada mantan Perdana Menteri.
“Walau bagaimanapun, kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan, selaras dengan tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 turut memaklumkan pihaknya menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri bahawa Tun Dr Mahathir berada di luar negara dari 28 hingga 31 Ogos 2026.
Menurut kenyataan itu, perjalanan berkenaan dibuat berdasarkan permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara yang telah diterima dan diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kelulusan berkenaan adalah selaras dengan ketentuan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].
Urus Setia Sambutan Hari Kebangsaan 2026 turut merakamkan penghargaan atas perhatian serta pemahaman semua pihak berhubung penjelasan mengenai tatacara jemputan berkenaan.




