
IPOH – Kehadiran seorang lelaki berkostum watak adiwira Ultraman dalam keadaan mencurigakan di lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri mencetuskan perhatian pasukan keselamatan sebelum dia ditahan polis seawal pukul 5 pagi, pada Isnin.
Lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditahan di sekitar Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab sebagai langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan sambutan yang berlangsung di hadapan Dewan Bandaran Ipoh.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tindakan pantas itu diambil selepas pihaknya mendapati keadaan lelaki terbabit mencurigakan, meskipun dia tidak melakukan sebarang gangguan atau ancaman.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati lelaki berkenaan dipercayai mempunyai rekod masalah kesihatan psikiatri dan akan dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk tindakan lanjut.
“Lelaki itu datang ke sini untuk melihat majlis pagi ini, namun kita melihat dia dalam keadaan mencurigakan dan mengambil tindakan pantas dengan menahannya terlebih dahulu.
“Pemeriksaan awal mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod kesihatan psikiatri dan kita akan merujuknya ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat negeri di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, di sini.
Dalam perkembangan sama, Mohd Alwi berkata, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun ini berlangsung dalam keadaan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Katanya, seramai 525 pegawai dan anggota polis digerakkan bagi mengawal keselamatan di sekitar lokasi sambutan, termasuk aspek trafik, pentas utama serta pergerakan orang ramai.
“Kita telah berada di lokasi ini kira-kira pukul 5 pagi tadi dan semua aspek kawalan dilaksanakan termasuk trafik, pentas dan orang ramai.
“Jumlah anggota yang ditugaskan tahun ini juga lebih ramai sedikit berbanding tahun lalu bagi memastikan keselamatan dan kelancaran majlis,” katanya.
Kawalan keselamatan pada sambutan kali ini turut diberi perhatian susulan insiden pencerobohan pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada tahun lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, seorang wanita dilaporkan menceroboh masuk ke pentas utama sebelum cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ketika itu sedang berdiri memberi tabik hormat ketika lagu kebesaran negeri Perak dimainkan.




