
PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini menjadi kenangan istimewa buat Abu Rayyan yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-7 bersama ibu bapanya.
Bagi Hazirah Mohd Wazir, 33, dan suaminya, Ammar Amirul Razali, 33, keputusan membawa Abu Rayyan ke Dataran Putrajaya dibuat bagi memberikan pengalaman berbeza sempena hari istimewa itu.
Hazirah berkata, Abu Rayyan kelihatan teruja apabila menerima ucapan selamat hari lahir daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), walaupun pada awalnya agak malu.
“Kelainan sambutan hari lahir Abu Rayyan tahun ini apabila dia sudah berusia tujuh tahun. Kami suami isteri membuat keputusan untuk datang ke Sambutan Hari Kebangsaan 2026.
“Tahun sebelumnya kami menyambut secara sendiri-sendiri sahaja. Abu Rayyan teruja tetapi agak pemalu ketika diberikan ucapan selamat hari lahir oleh pasukan ATM,” katanya ketika ditemui di Dataran Putrajaya, hari ini.
Menurut Hazirah, mereka pada awalnya tidak merancang untuk hadir kerana perjalanan dari Rawang ke Putrajaya agak jauh.
“Jadi, kami menginap di rumah adik ipar di Dengkil dan bergerak seawal jam 5 pagi untuk ke sini,” katanya.
Sementara itu, Ammar berkata, beliau bersetuju dengan cadangan isterinya untuk membawa anak-anak menyaksikan sambutan berkenaan, selain mahu mencipta kenangan bersama keluarga.
“Saya ikut idea isteri dan bersetuju dengan cadangan beliau. Saya dan anak-anak sudah bersedia.
“Pada tahun ini kami dapat duduk di bahagian hadapan. Mungkin tahun depan kami merancang untuk duduk di bahagian hadapan juga jika hadir pada sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini berlangsung meriah dengan kehadiran orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat yang memenuhi lokasi berkenaan bagi menyaksikan perbarisan, perarakan dan persembahan.
Bagi keluarga itu, pengalaman meraikan ulang tahun kelahiran Abu Rayyan dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan pastinya menjadi kenangan istimewa yang akan dikenang seisi keluarga.








