PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian apabila sanggup meluangkan masa berjalan sejauh kira-kira 500 meter bagi menyantuni pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, pada Isnin.
Dalam suasana penuh meriah itu, Perdana Menteri yang dari khemah utama sehingga ke Wisma Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluangkan masa menyapa orang ramai yang tidak melepaskan peluang bertemu pemimpin nombor satu negara sepanjang berada di sepanjang laluan.
Tindakan spontan itu bukan kali pertama dilakukan Perdana Menteri setiap kali berakhir sambutan Hari Kebangsaan namun, kali ini ‘jarak’ itu sedikit jauh berbanding sebelum ini.
Ia dilakukan Perdana Menteri sejurus keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah sekitar 10 pagi tadi.
Situasi itu semestinya diraikan penuh gembira oleh rakyat yang hadir dan mereka menggunakan peluang itu untuk bersalaman dan beramah mesra serta merakam detik kenangan itu bersama Perdana Menteri.
Sebelum itu, Anwar sempat menyantuni 1,500 peserta grafik manusia sambil berkongsi rasa terima kasih di atas persembahan kumpulan pelajar itu.
“Terima kasih semua. Alhamdulillah, good show, thank you very much. Great great show,” katanya ringkas kepada peserta grafik manusia.
Ucapan itu kemudian disambut dengan tepukan gemuruh dan sorakan oleh peserta grafik manusia itu.
Sebelum meninggalkan peserta grafik manusia itu, Anwar sempat ‘menghadiahkan’ ‘flying kiss’, menunduk hormat dan memberikan isyarat tanda tangan bagus diatas kecekalan peserta grafik manusia itu.
Turut turun menyantuni dan beramah mesra dengan peserta grafik manusia ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Kehadiran dan kesudian Perdana Menteri berjalan menyantuni pengunjung serta peserta grafik manusia menambah kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, sekali gus memperlihatkan suasana mesra antara pemimpin dengan rakyat pada hari penuh bermakna itu.
Peserta grafik manusia ialah antara tumpuan utama sambutan Hari Kebangsaan 2026 kali ini yang tidak kenal erti penat lelah menghiburkan kenamaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta kenamaan lain seawal 7 pagi.
Sambutan kali ini membabitkan seramai 10,819 peserta, 77 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam, 328 aset darat dan udara, serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan dan 11 kereta berhias yang turut disiarkan serta diikuti jutaan rakyat Malaysia secara langsung melalui kaca televisyen dan laman media sosial.
Mereka mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.




