PUTRAJAYA – Beberapa hari menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69, persiapan pelbagai acara semakin rancak, termasuk persembahan ‘human graphic’ yang membabitkan pelajar sekolah.
Apa yang menarik perhatian, pelajar terbabit dikatakan sudah menjalani latihan selama berbulan-bulan bagi memastikan persembahan mereka pada hari bersejarah itu berjalan lancar.
Mereka bukan sahaja perlu menghafal pergerakan dan membentuk grafik tertentu, malah sanggup berpanas dan mencurah keringat demi menjayakan persembahan yang bakal disaksikan ribuan penonton.
Namun, di sebalik kesungguhan itu, timbul pula persoalan dalam media sosial mengenai jumlah elaun yang diterima pelajar terbabit.
Ada yang memberikan pandangan positif, manakala tidak kurang juga mempersoalkan sama ada penglibatan pelajar dalam program berkenaan berbaloi dengan masa dan tenaga yang dicurahkan.
The Malaysia Press (TMP) turut mendapatkan pandangan seorang ayah yang anaknya pernah menyertai program seumpama itu beberapa tahun lalu.
Menurut beliau, pengalaman terbabit sehingga kini masih dikenang anaknya sebagai antara kenangan paling manis ketika zaman persekolahan.
“Saya tak ingat jumlah sebenae tapi elaun itu dapat dalam beberapa ratus ringgit. Selain itu, ada makan, baju dan barangan cenderamata. Anak-anak pun sudah cukup gembira.
“Lagipun, sebelum menyertai program ini, ibu bapa diberikan surat kebenaran terlebih dahulu dan anak-anak turut menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Kalau ibu bapa tidak bersetuju, boleh sahaja menolak tawaran,” katanya, pada Isnin.
Jadi, mungkin persoalannya bukan semata-mata mengenai berapa jumlah elaun yang diterima.
Sebaliknya, apa yang lebih besar ialah pengalaman yang diperoleh anak-anak ini apabila berpeluang menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan.
Bukan semua pelajar berpeluang menyertai acara sebegini dan mungkin hanya sekali sepanjang zaman persekolahan mereka.
Biarlah mereka menikmati pengalaman itu, berkawan, belajar tentang disiplin dan pada masa sama mencipta kenangan bersama rakan serta negara tercinta.
Mungkin bertahun-tahun selepas ini, bukan jumlah elaun yang mereka ingat, tetapi rasa bangga pernah berdiri di tengah-tengah lautan manusia, membawa nama sekolah dan menjadi sebahagian daripada sejarah sambutan Hari Kebangsaan.
Jadi, ayuh kita sama-sama merdekakan fikiran dan berikan ruang kepada anak-anak ini mencipta kenangan bersama negaranya.




