
KOTA KINABALU – Kira-kira 50,000 orang membanjiri Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens di sini, hari ini, bagi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026.
Kehadiran puluhan ribu rakyat daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat sejak awal pagi menyerlahkan semangat patriotisme serta perpaduan dalam meraikan dua sambutan penting itu.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Datin Seri Faridah Tussin hadir memeriahkan sambutan tersebut bersama-sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag.
Kawasan Dataran Bandaraya dan sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens mula dipenuhi orang ramai termasuk keluarga, golongan belia, penjawat awam serta masyarakat setempat seawal pukul 6.00 pagi.

Orang ramai turut hadir bersama keluarga dan anak-anak dengan mengenakan pakaian bertemakan warna Jalur Gemilang, selain membawa Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah bagi memeriahkan sambutan.
Kibaran Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah mewarnai kawasan sambutan, sekali gus menyemarakkan suasana serta semangat cintakan negara dalam kalangan pengunjung.

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan serentak itu menjadi medan menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang, sekali gus mencerminkan keharmonian dan kebersamaan rakyat Sabah.
Kehadiran kira-kira 50,000 orang pada sambutan tahun ini turut memperlihatkan semangat masyarakat dalam menghayati Hari Kebangsaan, di samping meraikan identiti dan sejarah Sabah.
Sambutan yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat patriotik itu berakhir kira-kira jam 10.30 pagi.






