
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pengenalan Geran Sejahtera MADANI bernilai RM200 juta untuk membantu penjaja, peniaga kecil dan pasar malam.
Perdana Menteri berkata, geran yang turut memberi manfaat kepada ibu yang bekerja dari rumah itu akan dilaksanakan berkuat kuasa Selasa ini.
“Masih ada keluhan peniaga-peniaga kecil, ibu-ibu bekerja di rumah dan pasar malam maka dengan ini diperkenal Geran Sejahtera MADANI.
“Semua ini dilaksanakan berkuat kuasa 1 September 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Dalam amanat sama, Anwar turut mengumumkan lima lagi ikhtiar kerajaan sebagai langkah membantu rakyat dan memperkukuh ekonomi serta pentadbiran negara.
Antaranya, kuota asas BUDI RON95 MADANI (BUDI95) bagi setiap warganegara Malaysia dikembalikan kepada 300 liter sebulan.
Kerajaan turut menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta, semua jenis sekolah akan menerima peruntukan bagi tahun depan akan ditingkatkan 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.
Manakala bagi 100,000 anak muda bakal nikmati langganan aplikasi AI percuma selama tiga bulan dan ikhitiar keenam ialah perkhidmatan kesihatan awam lebih cekap dengan peruntukan RM1 bilion bagi mempercepat urusan rawatan.




