PUTRAJAYA – Majlis Sukan Negara (MSN) sekali lagi mengulangi sokongan teguh terhadap jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berhubung persiapan ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
MSN dalam kenyataan balasnya menegaskan, dakwaan kononnya badan itu tidak menghiraukan perancangan atau tidak menghargai jasa jaguh berbasikal trek negara itu adalah tidak bertanggungjawab, malah sokongan terhadap Azizulhasni kekal teguh sejak sekian lama.
Agensi itu memaklumkan, semua permintaan yang dikemukakan Azizulhasni susulan dalam pertemuan dengan pengarah Road to Gold (RTG), Program Podium dan Institut Sukan Negara (ISN) 13 Ogos lalu dipersetujui bagi memastikan persiapannya menuju LA 2028 dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Azizulhasni ketika pertemuan itu memaklumkan beliau sudah mula merancang perjalanan ke LA 2028, namun belum memuktamadkannya. Antara keperluan yang dikemukakan ialah tambahan sokongan sains sukan dan perubatan, penggunaan fasiliti MSN serta ISN dan program latihan secara hibrid di Kuala Lumpur dan Melbourne, Australia.
“MSN dalam pertemuan itu menyatakan persetujuan terhadap semua permohonan itu, termasuk beberapa lagi permintaan tambahan. Paling utama, pertemuan itu memperteguhkan lagi sokongan kepada Azizulhasni dan cadangan pemberian geran kepadanya akan diteruskan seperti amalan sebelumnya,” katanya.
Pada masa sama, MSN berkata, pihaknya turut bersetuju menanggung penyertaan Azizulhasni dalam kejohanan utama seperti Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Dunia secara berpasukan.
“Perbincangan turut membincangakn keperluan pelumba trek itu dalam Olympic Pathway bersama Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM) 7 Julai lalu.
“Menteri Belia dan Sukan yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan MSN, Dr Mohammed Taufiq Johari, turut mendapatkan perkembangan mengenai persiapan Azizulhasni ketika sambutan kepulangan Kontinjen Malaysia dari Sukan Komanwel Glasgow,” katanya.
MSN berkata, Taufiq kemudian membawa keperluan serta perancangan sokongan berkenaan ke mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 13 Ogos lalu untuk mendapatkan persetujuan ahli lembaga.
“Susulan itu, MSN menghantar emel kepada Azizulhasni pada 27 Ogos bagi memuktamadkan perbincangan berkenaan dengan meminta pelan lengkap program serta anggaran perbelanjaan supaya peruntukan bagi kempen kelayakan LA 2028 dapat disediakan.
“Pelan itu merangkumi latihan dan pertandingan sehingga LA 2028, sasaran prestasi, laluan kelayakan Olimpik, pembahagian fasa latihan antara Kuala Lumpur dan Melbourne, keperluan jurulatih serta pasukan sokongan, sains sukan dan perubatan, fasiliti, peralatan, logistik selain anggaran perbelanjaan terperinci setiap tahun,” katanya.
Pada Sabtu, Azizulhasni tampil dengan penjelasan sembilan muka surat menerusi media sosial bagi memperincikan pelbagai perkara berkaitan sukan berbasikal dan misi kelayakan Malaysia ke LA28.
Dalam penjelasan itu, Azizulhasni menegaskan segala perkara yang didedahkan adalah berdasarkan fakta dan bukan auta, selain tidak mempunyai niat lain kecuali mahu melihat kemajuan sukan negara serta memastikan kebajikan atlet lebih terjamin pada masa depan.







