
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mempertahankan peranan sebagai institusi pendidikan tinggi yang memperkasa Melayu dan Bumiputera, di samping memastikan kecemerlangan, integriti dan merit terus menjadi budaya universiti.
Baginda bertitah, peranan UiTM mempunyai asas perundangan dan perlembagaan yang jelas, khususnya dalam konteks Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera.
“UiTM bukanlah institusi yang wujud tanpa asas perundangan. Akta 173 melalui Seksyen 1A memperuntukkan bahawa UiTM ditubuhkan selaras dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, peranan UiTM dalam memperkasa pendidikan Melayu dan Bumiputera mempunyai asas perlembagaan yang jelas, bukan sekadar dasar pentadbiran biasa,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Titah Diraja UiTM di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM serta disambut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Shahrin Sahib@Sahibuddin.
Majlis Titah Diraja UiTM kali terakhir diadakan pada 2016 dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai penyampai titah.
Dalam titahnya yang berlangsung lebih 45 minit, Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa mempertahankan UiTM tidak bermakna menafikan hak pendidikan kaum lain.
Sebaliknya, baginda bertitah, UiTM diwujudkan berasaskan keperluan sejarah untuk merapatkan jurang pendidikan dan sosioekonomi dalam kalangan Melayu dan Bumiputera.
“Selagi jurang ini masih wujud, maka amanah penubuhannya belum selesai,” titah baginda.
Baginda pada masa sama mahu UiTM memastikan golongan sasaran, khususnya anak Melayu dan Bumiputera daripada keluarga berpendapatan rendah serta luar bandar, tidak tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan tinggi.
Dalam perkembangan sama, Sultan Sharafuddin mahu UiTM memperkukuhkan budaya kecemerlangan, integriti, disiplin dan merit dalam kalangan warganya.
“Jangan sesekali kita menggunakan agenda Bumiputera sebagai alasan untuk menerima sesuatu yang sederhana atau kurang berkualiti,” titah baginda.
Baginda turut menggesa UiTM mengubah fokus daripada sekadar melahirkan graduan kepada membentuk lebih ramai pencipta pekerjaan, usahawan, inovator, saintis, pemimpin industri dan pemilik perusahaan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Sultan Sharafuddin juga mencabar setiap pelajar dan graduan UiTM supaya sekurang-kurangnya menguasai dua bahasa asing bagi meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran pekerjaan.
Menurut baginda, penguasaan bahasa asing mampu menjadi antara faktor yang membezakan kualiti graduan dalam persaingan pekerjaan yang semakin sengit.
Dalam pada itu, baginda mencadangkan supaya satu sistem dibangunkan bagi membolehkan alumni UiTM menyumbang sekurang-kurangnya RM10 sebulan atau RM100 setahun kepada universiti sebagai tanda penghargaan terhadap institusi berkenaan.
“Beta percaya nilai RM10 ringgit itu tidaklah membebankan dan mampu disumbangkan oleh setiap alumni. Anggaplah ia sebagai satu pengorbanan terhadap kelangsungan UiTM,” titah baginda.
Sultan Selangor turut mahu para graduan dan alumni menjaga nama baik UiTM serta mengelakkan diri daripada rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Baginda bertitah, UiTM kini perlu bergerak daripada perjuangan mendapatkan akses pendidikan kepada perjuangan mencapai kecemerlangan, selain melahirkan pemimpin dan peneraju industri yang mampu bersaing di pentas dunia.
“Beta tidak mahu generasi akan datang hanya mengenang UiTM kerana sejarahnya. Beta mahu mereka menghormati UiTM kerana kecemerlangannya,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan seluruh warga UiTM supaya maju dengan acuan tersendiri berteraskan ‘DNA-UiTM’ yang merangkumi pemikiran rasional, perasaan positif, semangat padu, aspirasi ke hadapan serta tingkah laku yang mulia.
Pada akhir titah, Sultan Sharafuddin turut menyeru orang Melayu supaya kembali menghayati semangat muafakat dan bersatu padu dalam mempertahankan kepentingan bersama yang telah dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jagalah tanah air,” titah baginda.





