
VICTOR Munoz muncul penyelamat Liverpool apabila jaringannya pada lewat permainan memastikan skuad kendalian, Andoni Iraola terikat 2-2 dengan Nottingham Forest di Anfield.
Keputusan seri itu, sekali gus melanjutkan penantian The Reds untuk kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris musim ini.
Forest hampir membawa pulang tiga mata selepas Morgan Gibbs-White menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-70 untuk meletakkan pelawat di depan 2-1.
Penalti diberikan selepas penjaga gol Liverpool, Alisson menjatuhkan Neco Williams di dalam kotak penalti.
Namun, Munoz menyelamatkan Liverpool pada minit ke-82 menerusi gol pertamanya dalam kesebelasan utama apabila dia berpusing sebelum melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti yang terkena palang sebelum menerjah gawang.
Forest membuka jaringan pada minit ke-24 menerusi Dan Ndoye selepas penyerang Switzerland itu menyudahkan serangan balas pantas.
Serangan bermula daripada hantaran jauh penjaga gol Forest, Matz Sels, sebelum Gibbs-White melorongkan bola kepada Ndoye yang tenang melepaskan rembatan ke penjuru bawah gawang.
Liverpool menyangka mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Florian Wirtz, namun jaringannya pada babak pertama dibatalkan kerana ofsaid.
The Reds akhirnya menemui gol penyamaan pada minit ke-60 apabila Alexander Isak menyudahkan hantaran lintang rendah Cody Gakpo.
Gakpo berjaya melepaskan diri daripada kawalan pertahanan di sebelah kiri sebelum menghantar bola yang kemudian disudahkan Isak ke gawang terbuka selepas dua pertahanan Forest gagal menghalang hantaran itu.
Bagaimanapun, Forest kembali di depan menerusi sepakan penalti Gibbs-White sebelum Munoz menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol penyamaan 12 minit kemudian.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool hanya mengumpul dua mata daripada dua perlawanan liga di bawah kendalian Iraola.






