
KOTA KINABALU – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) melakukan penstrukturan baharu dengan melantik 25 Ketua Bahagian Penaja di seluruh Sabah.
Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelantikan itu dibuat selepas parti menerima kebenaran daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS), susulan pindaan perlembagaan parti pada Mei lalu.
Katanya, empat muka baharu kini menerajui bahagian masing-masing iaitu Sarapin Magana di Kota Marudu, Shah Alfie Yahya di Putatan, Datuk Dr Mohd Jasmin Julpin di Semporna dan Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal di Kalabakan.
“Penstrukturan itu bukan bermakna pemimpin yang tidak dilantik sebagai Ketua Bahagian Penaja diketepikan.
“Sebaliknya, mereka akan diberikan peranan lain dalam parti termasuk sebagai Timbalan, Naib Ketua, ahli jawatankuasa serta jawatan strategik seperti Ketua Penerangan dan Bendahari.
“Mana yang tidak terpilih di sini, akan juga mempunyai peranan penting di dalam parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PGRS di sini, pada Sabtu.

Menurut Hajiji, Ketua Bahagian Penaja akan bertindak sebagai penyelaras gerak kerja parti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Tambahnya, struktur baharu tersebut akan memperkemas pentadbiran Gagasan Rakyat sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju kerajaan negeri.
Antara yang dilantik ialah Hajiji Noor (Tuaran), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun (Ranau), Datuk James Ratib (Beluran), Datuk Seri Ruddy Awah (Kudat), Datuk Arsad Bistari (Kota Belud) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Tawau).
Turut dilantik ialah Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar), Datuk Faisyal Yh Diego (Kota Kinabalu), Datuk Ceasar Mandela Malakun (Penampang), Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar (Papar), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Kimanis) dan Datuk Isnin Aliasnih (Beaufort).
Bagi kawasan lain, jawatan itu disandang Datuk Dr Yusof Yacob (Sipitang), Datuk Azman Ruslan (Keningau), Datuk Rubin Balang (Tenom), Datuk Ghani Yassin (Pensiangan), Datuk Hazim Mubarak Musa (Libaran), Datuk George Hiew Vun Zin (Batu Sapi), Datuk Awang Kadin Tang (Sandakan), Datuk Masiung Banah (Kinabatangan) dan Ir Rajesh Datuk Yusuf (Lahad Datu).
Hajiji berkata, senarai anggota bahagian dan sayap parti akan dikemukakan kepada ROS dalam masa terdekat.





