KOTA BHARU – Kementerian Ekonomi sentiasa memantau perkembangan yang berkaitan dengan krisis Asia Barat sebagai persediaan jika berlaku keperluan mendesak kepada rakyat negara ini.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, krisis yang berlaku sejak Februari lalu itu tidak dapat diramal sama ada semakin baik atau teruk.
Justeru, katanya, kementerian membuat pemantauan dari pelbagai segi bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan dan apa sahaja inisiatif yang dibuat adalah tepat kepada rakyat.
“Yang penting bagi kita sekarang ini adalah untuk memastikan bekalan minyak kepada negara kita sehingga hujung tahun ini terjamin.
“Selain itu, kita juga memantau pergerakan inflasi barang-barang supaya tekanan kepada rakyat tidak dirasai secara keseluruhan selain melihat bagaimana keadaan pekerja yang dibuang atau dapat kerja baharu, ini semua kita lihat.
“Bagi kita secara tuntasnya, apa saja yang berlaku di luar sana (Asia Barat), beri kesan kepada kita dan kita amat bersiap sedia dengan segala kemungkinan,” katanya, lapor Berita Harian.
Terdahulu beliau hadir dalam Malam Mesra Kontraktor sempena mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Kelantan kali ke-49. Turut hadir ialah Presiden PKMM, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.
Mohd Shahar berkata, peranan papan pemuka atau dashboard pemantauan krisis bekalan global yang dibangunkan sejak Mei lalu juga sangat penting sebagai sumber rujukan berpusat bagi memantau perkembangan semasa ekonomi dan rantaian bekalan global.
Menurutnya lagi, sistem itu adalah platform komunikasi kerajaan bersama rakyat sekali gus memberikan maklumat terperinci berhubung krisis yang sedang berlaku.
“Kita sedang pantau setiap hari mengenai krisis Asia Barat dan ada dashboard pemantauan krisis bekalan global yang boleh berkomunikasi dengan rakyat.
“Melalui sistem ini rakyat dapat berkomunikasi dan lihat sendiri sebab kadang-kadang rakyat nak dapat maklumat sukar satu ketika dulu tapi kita buat keputusan bangunkan sistem ini dan akhirnya ada sikit kelegaan untuk akses mereka tahu,” katanya.








