Mufti Kedah perlu bersuara isu doa ‘pecah perut’ – Mahfuz

SAHIBUS Samahah Datuk Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang perlu tampil memberikan panduan kepada rakyat negeri ini berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menyeru orang ramai mendoakan seseorang yang didakwa menjadi dalang dalam perjudian agar ‘pecah perut’.

Menurut Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar, perkara itu membimbangkan kerana ia bukan sekadar berkaitan perbezaan politik, sebaliknya menyentuh soal agama, akhlak dan adab sesama umat Islam.

“Saya tidak mahu menentukan hukum bagi pihak Mufti. Tetapi justeru kerana ini menyentuh soal agama dan akhlak, Mufti Kedah tidak wajar berdiam diri.

“Saya minta Mufti Kedah menjelaskan lima perkara demi menjaga nama baik negeri dan Kebawah Duli Tuanku Sultan Kedah sebagai Ketua Agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, antara perkara yang perlu dijelaskan ialah sama ada Islam membenarkan seorang pemimpin menyeru orang ramai mendoakan keburukan dan kemudaratan terhadap individu yang tidak dipersetujuinya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada mendoakan seseorang supaya ‘pecah perut’ selari dengan akhlak Islam dan adab ketika berbeza pendapat.

“Adakah memaki dan menghina pemimpin yang berbeza pandangan merupakan contoh akhlak yang wajar diteladani umat Islam?

“Jika seruan seperti ini tidak selari dengan ajaran Islam, Mufti perlu menyatakannya dengan jelas supaya rakyat Kedah tidak menganggapnya sebagai ajaran agama,” katanya.

Menurut Mahfuz, beliau turut berpandangan bahawa pertikaian berkaitan undang-undang sewajarnya diserahkan kepada mahkamah dan saluran Perlembagaan, bukannya menjadikan perbezaan politik sebagai kebencian peribadi.

Dalam pada itu, Mahfuz menegaskan pendirian menolak perjudian boleh diperjuangkan melalui undang-undang dan dasar.

“Kita perlu menolak judi tanpa mendoakan orang pecah perut. Kita boleh menentang dasar tanpa memaki manusia. Kita boleh menang atau kalah di mahkamah tanpa kehilangan akhlak,” katanya.

Beliau berkata, Kedah merupakan negeri yang terkenal dengan ulama, institusi pondok serta tradisi ilmu yang kukuh.

“Jangan sampai negeri Kedah yang Kebawah Duli Tuanku Sultan sebagai ketua agama Islam dan melahirkan ramai ulama terkenal kini dikenali kerana pemimpinnya mengajar rakyat bahawa apabila kita tidak bersetuju dengan seseorang, kita boleh mendoakan dia celaka dan ‘mampoih pecah perut’,” katanya.

Mahfuz turut mengemukakan persoalan kepada Mufti Kedah sama ada rakyat perlu diberi penjelasan sekiranya seruan mendoakan seseorang ‘pecah perut’ tidak selari dengan akhlak Islam.

“Jika seruan mendoakan orang pecah perut itu tidak selari dengan akhlak Islam, bukankah rakyat Kedah perlu diberitahu supaya jangan mengikutinya?” katanya.

Beliau berharap isu berkenaan tidak dilihat semata-mata sebagai pertikaian politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Pas.

Sebaliknya, katanya, perkara itu membabitkan persoalan lebih besar mengenai budaya politik yang mahu diwariskan kepada generasi muda Islam.

“Apakah budaya politik yang mahu kita wariskan kepada generasi muda Islam? Politik yang mengajar hujah, adab dan rahmah, atau politik yang mengajar makian, kebencian dan doa keburukan?

“Jangan kerana kita mahu memerangi judi, kita akhirnya membiarkan akhlak Islam dipertaruhkan.

“Mufti Kedah perlu bersuara bukan untuk membela (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), tetapi untuk membela akhlak Islam,” katanya.

Related Posts

Ilmu ‘senjata’ Orang Asli pertahan, isi kemerdekaan

BENTONG – Kemerdekaan tidak seharusnya hanya difahami sebagai kebebasan daripada penjajahan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penguasaan ilmu dan pendidikan bagi membolehkan masyarakat Orang Asli menentukan masa depan serta bersaing dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Proses nyahwarta Hutan Simpan Kekal tidak dibuat sewenang-wenangnya

KUANTAN – Kerajaan Pahang menegaskan proses penyahwartaan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya tertakluk kepada kawalan ketat, syarat tertentu dan prosedur ditetapkan. Menteri Besar,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Ilmu ‘senjata’ Orang Asli pertahan, isi kemerdekaan

Ilmu ‘senjata’ Orang Asli pertahan, isi kemerdekaan

Proses nyahwarta Hutan Simpan Kekal tidak dibuat sewenang-wenangnya

Proses nyahwarta Hutan Simpan Kekal tidak dibuat sewenang-wenangnya

Kebakaran Kg Numbak: 202 rumah terjejas, 134 mangsa dipindahkan ke PPS

  • By Ezmie
  • August 30, 2026
Kebakaran Kg Numbak: 202 rumah terjejas, 134 mangsa dipindahkan ke PPS

USIM perkasa ilmu turath, lantik Sheikh Wazir Che Awang Al-Makki Profesor Adjung

USIM perkasa ilmu turath, lantik Sheikh Wazir Che Awang Al-Makki Profesor Adjung

Doktor tak perlu lagi selak fail, RM1 bilion perkasa rekod perubatan digital – Fahmi

Doktor tak perlu lagi selak fail, RM1 bilion perkasa rekod perubatan digital – Fahmi

Geran Sejahtera MADANI RM200 juta bagi peniaga kecil – PM

Geran Sejahtera MADANI RM200 juta bagi peniaga kecil – PM