PUTRAJAYA – Seramai 5,000 pelarian Myanmar yang layak akan dihantar pulang secara berperingkat ke negara asal menerusi program penghantaran pulang secara sukarela yang dimuktamadkan Kerajaan MADANI.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini berkata, fasa pertama program berkenaan akan membabitkan 1,476 warga Myanmar yang akan dihantar pulang pada 29 September ini.
“Fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela akan dilaksanakan pada 29 September 2026 melibatkan seramai 1,476 warga Myanmar yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar melalui Nota Diplomatik No. 649/47 01(2026) bertarikh 13 Ogos 2026,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Menurut KDN, program berkenaan dilaksanakan secara selamat dan bertanggungjawab mengikut prosedur yang dipersetujui bersama Kerajaan Myanmar.
Tarikh penghantaran pulang fasa pertama itu dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan membabitkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik serta penyelarasan.
Proses penghantaran pulang akan menggunakan dua kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
KDN berkata, strategi kerajaan dalam menangani isu pelarian dilaksanakan menerusi dua pendekatan yang saling melengkapi, iaitu rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar serta pendaftaran dan pendataan individu yang mendakwa sebagai pelarian dan pemohon suaka melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
“Untuk tahun 2026, seramai 4,008 daripada mereka terutamanya etnik Rohingya akan dijalurkan kepada Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), manakala 5,000 individu yang lain akan menjalani proses penghantaran pulang secara sukarela ke Myanmar secara berperingkat sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, sehingga 15 Ogos lalu, seramai 10,388 warga Myanmar berada di Depot Tahanan Imigresen. KDN menegaskan jumlah berkenaan merangkumi semua rakyat Myanmar yang ditahan dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian.
Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini melaksanakan proses DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu.
Proses pendaftaran DPP bagi kumpulan berkenaan dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat tahun ini.
KDN berkata, program DPP akan diperluaskan kepada semua pendatang tanpa izin yang berada di luar Depot Tahanan Imigresen, termasuk pemegang kad UNHCR dan individu yang mendakwa sebagai pelarian.
“Program DPP merupakan mekanisme serampang pelbagai mata untuk menyelamatkan negara daripada krisis demografi gelap,” katanya.
Menurut KDN, pendaftaran berkenaan penting bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat peribadi yang lengkap serta tepat sebagai asas kepada pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan demi kepentingan keselamatan negara.
Individu yang memenuhi syarat dan melepasi proses pendaftaran DPP akan diberikan Kad DPP yang membolehkan mereka tinggal sementara tertakluk kepada syarat, kawalan dan pemantauan ditetapkan kerajaan.
KDN berkata, lebih 95 peratus pelarian di negara ini berasal dari Myanmar, termasuk etnik Rohingya, Chin, Karen dan Mon.
“Justeru, penyelesaian ini tidak boleh dilakukan secara unilateral.
“Kerajaan MADANI sedang dan akan terus menggiatkan rundingan diplomatik secara langsung dengan Kerajaan Myanmar bagi memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur, bermaruah dan dipersetujui oleh kedua-dua negara,” ujarnya.
KDN berkata, pendekatan kerajaan dalam menangani isu berkenaan berteraskan nilai ihsan dan kemanusiaan, namun pelaksanaannya mesti dilakukan secara terbuka, telus dan mengikut lunas undang-undang.
“Tiada lagi ruang untuk ketidaktentuan. Setiap tindakan mesti sah di sisi undang-undang dan boleh dipertanggungjawabkan oleh rakyat,” jelasnya.





