
KUCHING – Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) komited memperkasakan kemahiran pengurusan krisis dalam kalangan Pegawai Perhubungan Awam (PRO) jabatan kerajaan dan agensi menerusi penganjuran bengkel UKAS Making Connections 2026 yang berlangsung selama dua hari dan berakhir pada 28 Ogos (esok).
Bengkel bertajuk ‘Strategic Crisis Communication and Media Management Advisory for Government Leader’ itu berjaya menghimpunkan kira-kira 160 peserta termasuk kumpulan pempengaruh tempatan yang dikenali sebagai Rakan UKAS.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, program di bawah seliaan Jawatankuasa Penyelarasan PRO itu bertujuan memberi pendedahan menyeluruh berhubung dinamik media serta strategi pemulihan reputasi pascakrisis.
Menurut beliau, sesi bimbingan komprehensif yang dikendalikan oleh penceramah jemputan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Profesor Dr Bahtiar Mohamad dan Profesor Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman itu turut menjadi platform terbaik bagi merapatkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan negeri, persekutuan dan pihak berkuasa tempatan.

Dalam pada itu, Awang Putrayusrie turut menggesa semua PRO dan Rakan UKAS agar melipatgandakan usaha untuk membantu kerajaan negeri menyebarluaskan 149 inisiatif di bawah kepemimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelasnya, Rakan UKAS yang dibimbing secara rasmi oleh kerajaan perlu memainkan peranan penting untuk menyampaikan maklumat yang sahih kepada komuniti sekali gus menangkis sebarang tohmahan di media sosial.
Menyentuh mengenai peranan strategik organisasi tersebut, beliau menjelaskan UKAS turut berfungsi sebagai pusat pengarkiban data berpusat yang menyimpan pelbagai koleksi video, teks ucapan dan galeri majlis jabatan secara percuma bagi mengelakkan masalah kehilangan rekod akibat pertukaran pegawai.
Tambah beliau, sebagai jambatan penghubung yang utuh antara rakyat dengan kerajaan, UKAS sentiasa proaktif mengumpulkan pelbagai isu serta keluhan masyarakat dari peringkat akar umbi untuk dipanjangkan dengan segera ke Pejabat Premier.
Beliau turut menyeru agensi kerajaan untuk memanfaatkan platform siaran Buletin UKAS yang diterbitkan setiap hari dalam empat bahasa utama bagi memastikan kelancaran sebarang kempen hebahan awam.




