
KERAJAAN perlu memastikan Belanjawan 2027 memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, selain mengawal kos sara hidup dan memperkukuh daya saing ekonomi negara, kata Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
Beliau berkata, tumpuan utama kerajaan perlu menjurus kepada keseimbangan antara melindungi hak serta kualiti hidup rakyat dalam jangka pendek dengan memperkukuh ekonomi negara untuk tempoh panjang.
Katanya, peningkatan gaji, pewujudan lebih banyak pekerjaan berpendapatan kompetitif serta pengurangan kos asas seperti perumahan, pengangkutan, pendidikan dan penjagaan kesihatan perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027.
“Fokus utama ialah meningkatkan gaji minimum, menambah lebih banyak pekerjaan yang menawarkan gaji lebih kompetitif dan mengurangkan kos asas seperti perumahan, pengangkutan, pendidikan serta penjagaan kesihatan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Khamis.
Ahmed Razman berkata, kerajaan juga perlu terus menarik pelaburan langsung asing (FDI), khususnya dalam sektor bernilai tinggi bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih baik.

Menurutnya, peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi dan automasi turut penting bagi membantu mengurangkan kos operasi serta memperkukuh daya saing ekonomi negara.
“Kita mahu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, tetapi pada masa sama tidak mahu menambah tekanan kepada rakyat.
“Pertumbuhan ekonomi perlu memastikan pendapatan rakyat meningkat dan mereka dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada usaha mengawal kos sara hidup supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Katanya, pertumbuhan ekonomi yang dicapai tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, pendapatan dan taraf hidup.
“Matlamat kita bukan sekadar mengejar pertumbuhan ekonomi yang tinggi, tetapi pertumbuhan itu mesti berkualiti dan inklusif serta memberi manfaat kepada rakyat.
“Yang penting ialah bagaimana pertumbuhan ekonomi ini meningkatkan produktiviti pekerja supaya mereka mendapat gaji lebih tinggi dan dapat meningkatkan kualiti hidup,” katanya.
Ahmed Razman berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan Belanjawan 2027 dapat memperkukuh kedudukan fiskal negara tanpa mengabaikan keperluan rakyat.
“Kerajaan perlu mencari keseimbangan antara melindungi hak dan kualiti hidup rakyat dalam jangka pendek dengan mengukuhkan ekonomi negara untuk jangka panjang,” katanya.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober depan, dengan kerajaan dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan.
Belanjawan berkenaan juga akan menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam meneruskan agenda Ekonomi MADANI dan menangani cabaran ekonomi semasa.




